Aplikasi carian hadis Melayu pertama dari penyelidik FSKM

Hadis sahih semudah ABC

SECARA logiknya untuk mengekalkan keaslian sebaris kata-kata yang diungkap lebih 1,400 tahun lalu tanpa sebarang tokok tambah pastinya dianggap mustahil. Cabaran itu menjadi semakin sulit apabila berhadapan pula dengan golongan manusia yang sentiasa mencari kesempatan untuk memanipulasi dan menyelewengkan hadis Rasulullah SAW.

Namun, tiada yang mustahil dengan pertolongan Allah SWT. Terbuktilah selain kitab al-Quran, hadis atau sunnah peninggalan Rasulullah merupakan satu daripada dua sumber rujukan utama umat Islam yang dijanjikan Allah terpelihara daripada sebarang penyelewengan.

Antaranya menerusi lahirnya golongan ulama dan pencinta hadis yang diilhamkan Allah untuk mengambil tanggungjawab bagi memelihara mutiara kata Rasulullah itu sebaik mungkin.

Itulah yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi Mara (FSKM UiTM) bagi memartabatkan keaslian hadis bertaraf sahih dengan cara tersendiri.

Walaupun bukan bergelar ustaz atau ustazah, apatah lagi pakar dalam bidang berkenaan, namun inisiatif mereka telah memudahkan umat Islam termasuk pendakwah dan guru agama menjadikan panduan dalam menilai serta memilih hadis sahih.

Ternyata, penggunaan algoritma capaian maklumat bidang Sains Komputer membuatkan rujukan kepada hadis menjadi lebih mudah apabila menggunakan aplikasi Mutiara Hadis yang dibangunkan.


Pengasas Information Retrieval Special Interest Group, Profesor Dr. Zainab Abu Bakar ketika ditemui berkata, pengguna Mutiara Hadis hanya perlu menulis kata kunci pada ruang carian, dan hadis berkaitan atau yang paling hampir dengan carian tersebut akan dipaparkan.

“Menyediakan lebih 18,000 koleksi hadis sahih, pengguna juga boleh memilih mana-mana daripada enam periwayat hadis muktabar yang terdapat dalam aplikasi Mutiara Hadis ini bagi memfokuskan carian lebih tepat kepada periwayat tersebut.

“Mutiara Hadis boleh dilayari secara percuma dan dari semasa ke semasa, kumpulan penyelidik kita akan menambah baik dan memuatkan lagi bilangan hadis bagi memudahkan lagi orang ramai membuat rujukan hadis sahih,” katanya sahaja bersara daripada tugasnya di FSKM UiTM, baru-baru ini.

Antara kitab rujukan hadis yang disediakan adalah Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Nasa’i, Sunan Tirmizi, Sunan Ibnu Majah, dan Sunan Abu Daud.

MANFAAT UMAT

Ternyata, inovasi itu memberi manfaat bukan sahaja pendakwah atau guru agama sahaja, sebaliknya semua umat Islam boleh menyebarkan agama yang diredai oleh Allah itu menerusi cara tersendiri.

Bermula dengan hanya untuk melengkapkan kajian, idea Mutiara Hadis tercetus daripada aplikasi sama yang pertama dihasilkan iaitu menghasilkan carian pantas ayat al-Quran dan terjemahannya.

Zainab berkata, melihat kepada capaian maklumat mengenai al-Quran dan terjemahan bahasa Melayu masih belum dihasilkan, beliau memikirkan keperluan untuk memilih al-Quran dan terjemahan sebagai subjek melaksanakan kaedah tersebut.

“Idea ini dicetuskan ketika saya sedang membuat kajian peringkat kedoktoran pada tahun 1999. Kajian yang perlu saya lakukan adalah menghasilkan sebuah kaedah bagi membuat enjin carian maklumat dan bagi menyempurnakan enjin carian itu, maka perlu memilih apa sahaja bidang sebagai subjek.

“Pada asalnya saya dicadangkan oleh penyelia pengajian PhD saya masa itu ialah Profesor Emeritus Dr. Tengku Mohd. Tengku Sembok untuk memilih terma perundangan, tetapi memikirkan subjek itu yang terlalu rumit dan hanya meluas bagi golongan tertentu sahaja, saya akhirnya mengambil keputusan menggunakan ayat al-Quran.

“Rentetan daripada penghasilan itu, pada tahun 2003, saya bersama sekumpulan penyelidik UiTM mula membangunkan projek baharu iaitu enjin carian hadis atau dikenali Mutiara Hadis menggunakan geran penyelidikan UiTM,” ujarnya.

Beliau mendakwa, kejayaan menghasilkan Mutiara Hadis meletakkan perisian itu sebagai laman web carian pantas hadis sahih berbahasa Melayu pertama yang dihasilkan di negara ini.

Penghasilan enjin carian Mutiara Hadis dibantu oleh dua penyelidik iaitu Dr. Nurazzah Abd. Rahman dan Dr. Normaly Kamal Ismail.

Dipertikai pakar hadis

TIDAK semudah disangka, menghasilkan Mutiara Hadis bukan sahaja memerlukan ketekunan dan penelitian dalam semua aspek, malah mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan.

Salah seorang penyelidik, Dr. Nurazzah Abd. Rahman berkata, ini bagi memastikan hadis yang dipilih adalah sahih dan diperoleh daripada sumber yang dipercayai supaya tidak berlakunya penyelewengan.

“Kami bukannya pakar dalam bidang hadis, cabaran utama bagi kami untuk memastikan bahan dan sumber yang diambil adalah sahih. Antara usaha yang kami lakukan ialah perlu merujuk kepada pakar hadis dan juga pakar bahasa bagi mengelakkan kesalahan makna bagi setiap hadis yang diambil.

“Begitu juga, kami terpaksa menaip sebahagian besar sumber itu dan membuat cetakan semula dalam bahasa Melayu untuk dimasukkan ke dalam sistem Mutiara Hadis kerana sumber yang diperoleh adalah daripada kitab-kitab hadis ulama terkemuka seluruh dunia,” katanya.

Bukan itu sahaja, beliau yang juga Ketua Research Interest Group, Multi Diciplinary Information Retrieval (RIG Mudir) itu berkata, serangan psikologi pihak luar yang mempertikaikan status hadis dalam Mutiara Hadis turut menjadi cabaran bagi kumpulan penyelidik itu untuk meneruskan Mutiara Hadis.

“Kadang kala ada juga segelintir pihak termasuk yang bergelar ustaz mempersoalkan, siapa kami yang tiada latar belakang ilmu hadis untuk menghasilkan capaian maklumat rujukan mengenai hadis.

“Menganggapnya sebagai cabaran, ia tidak sesekali mematahkan semangat kami sebaliknya membuatkan kami lebih berhati-hati dalam membuat pemilihan hadis, walaupun pada asalnya kajian ini adalah untuk menghasilkan sebuah enjin carian,” jelasnya.

Namun beliau berkata, seperti tidak diduga aplikasi yang dihasilkan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Alhamdulillah, statistik pada Januari hingga Disember tahun 2015 menunjukkan jumlah pengunjung Mutiara Hadis mencecah lebih 5 juta orang. Kita percaya, kebanyakan pengunjung Mutiara Hadis ini adalah dalam kalangan pendakwah dan pelajar yang ingin membuat rujukan mengenai hadis.

“Lebih membanggakan, enjin carian yang dihasilkan ini turut mendapat pengiktirafan termasuk daripada dalam dan luar negara sehingga menjadi rujukan antarabangsa,” katanya.

Kejayaan itu tambahnya, turut disokong penuh oleh Normaly yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang pengaturcaraan komputer supaya dapat menghasilkan aplikasi Mutiara Hadis selari dengan kehendak pengguna.

Hikmah tersembunyi

Pencapaian yang diperoleh bukan sahaja melonjakkan nama kumpulan penyelidik dan juga negara di mata dunia, lebih daripada itu Nurazzah berkata, kajian yang dilakukan secara tidak langsung mendekatkan diri pengkaji kepada Allah.

“Kami akui kurang mahir dalam pengetahuan agama apatah lagi bidang hadis, namun apabila sering bertungkus lumus menyiapkan perisian ini secara tidak langsung kami boleh mempelajari agama Islam dan juga hadis Nabi.

“Alhamdulillah, sedikit sumbangan yang dilakukan bagi membantu masyarakat ini memberikan kami kesedaran untuk berubah kepada lebih positif,” katanya.

Beliau berkata, tidak terhenti setakat itu, ahli kumpulannya turut merancang untuk meningkatkan lagi kemudahan aplikasi sedia ada dengan pautan yang lebih meluas dan menyeluruh.

“Selain sentiasa mengemaskini bilangan hadis sedia ada, kami juga merancang untuk memperluaskan lagi carian Mutiara Hadis ini dengan menyediakan pautan daripada al-Quran, begitu juga menjelaskan hadis secara lebih terperinci termasuk mengemukakan sanad hadis sehingga kepada Rasulullah SAW.

“Di samping itu, kami juga sedang usahakan supaya dapat menerbitkan hadis sahih ini menerusi buku panduan kecil yang ringkas bagi memudahkan masyarakat membuat rujukan pantas,” ujarnya.

{gallery}stories/media/hadis{/gallery}

– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/hadis-sahih-semudah-abc-1.217533#sthash.gxRVBKhG.dpuf

URL Mutiara Hadis: sigir.uitm.edu.my

3
0