Pahang, 3 Jun 2024 – Akademi Pengajian Bahasa (APB) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah melakar sejarah dengan melaksanakan Program Mobiliti Penyelidikan Antarabangsa dan International Credit Transfer (ICT) ke Tokyo University of Agriculture (TUA), Tokyo, Jepun dari 27 hingga 31 Mei 2024.
Program yang bertujuan menggalakkan pertukaran maklumat merentasi sempadan melalui aktiviti kajian dari geran sepadanan ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4 – Pendidikan Berkualiti.
Menurut Dr. Roslina Abdul Aziz, salah seorang pensyarah kanan APB UiTM Cawangan Pahang yang terlibat, program ini berperanan penting dalam membantu mencapai beberapa Petunjuk Prestasi (PI) universiti, termasuk PI084 (aktiviti antarabangsa di bawah MoA aktif), PI076 (Bilangan Program Pemindahan Ilmu), PI055 (Bilangan penerbitan bersama antarabangsa yang tersenarai) dan PI139 (Bilangan penerbitan tersenarai: Prosiding Persidangan dalam SCOPUS/WoS dan Jurnal dalam SCOPUS/WoS/ERA).
“Program ini juga memenuhi keperluan MyRA 2024 universiti,” tambah Dr. Roslina.
Sepanjang program, dua pensyarah kanan APB Cawangan Pahang, Dr. Roslina Abdul Aziz dan Dr. Nadhratunnaim Abas, terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk perbincangan dengan pihak pengurusan TUA, syarahan umum, serta pengumpulan data penyelidikan.
“Program ini telah berjaya menjalin hubungan akademik antara APB Cawangan Pahang dan TUA melalui perkongsian ilmu dan pengalaman dalam aspek pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, penyelidikan, serta penerbitan akademik,” jelas Dr. Nadhratunnaim.
Selain itu, program ini turut memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua institusi dan memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar yang terlibat dalam program ICT ELC590.
APB UiTM Cawangan Pahang berkomitmen untuk meneruskan program sebegini pada masa hadapan, bagi saling memanfaatkan kedua-dua universiti dalam aspek pengajaran Bahasa Inggeris, penyelidikan, dan penerbitan antarabangsa.