23 April 2020 – Kolej Perindu telah meneruskan siri Live Session With Perindu dan kali ini dengan slot Apa Khabar Perindu. Slot ini memfokuskan tentang stress dan cara-cara untuk menguruskannya di samping mendiskusikan isu-isu seperti kesihatan dan penyakit mental. Isu yang difokuskan dalam slot Apa Khabar Perindu ini dilihat sangat menarik kerana sangat dekat dengan masyarakat khususnya golongan remaja.
Hal ini dikatakan demikian kerana, di samping cara penyampaian yang santai, para pelajar juga mampu mengambil input-input yang berguna daripada panel yang dibawakan khas dalam slot ini.
Pada slot Apa Khabar Perindu kali ini, pihak kolej Perindu telah membawakan Prof. Madya Dr. Amer Siddiq bin Amer Nordin iaitu Pengarah UMCares The Community and Sustainability Centre University Malaya (UM). Beliau juga merupakan seorang doktor psikiatri yang sudah berpengalaman luas dalam menguruskan hal-hal yang melibatkan masalah kesihatan mental.
Dalam sesi perkongsian ini, Dr. Amer telah menerangkan mengenai beberapa tahap kesihatan mental. Beliau juga menekankan soal pengurusan tekanan dengan cara yang betul serta menepis tanggapan-tanggapan buruk terhadap mereka yang tampil mendapatkan bantuan untuk kesihatan mental mereka. Di samping itu, beliau turut berkongsi beberapa tip untuk menjadi pendengar yang baik yang sudah pasti dapat digunakan oleh para pelajar untuk membantu rakan-rakan mereka yang memerlukan seorang pendengar untuk masalah yang mereka hadapi. Hal ini bertepatan dengan sistem Buddy yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengesan mana-mana pelajar yang mengalami tekanan khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.
Akhir kata, semoga input yang dikongsikan dalam slot Apa Khabar Perindu ini mampu memberi pencerahan terhadap kesihatan dan penyakit mental serta mengubah persepsi dalam kalangan masyarakat khususnya golongan pelajar.
Oleh: Aiman Husaini