Kelebihan seseorang yang memberikan makan dan minum kepada orang yang berpuasa telah dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W: “Sesiapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun.”(Hadis riwayat at-Tirmidzi).
Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) terdiri daripada 17 matlamat yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Secara ringkasnya ianya meliputi kemajuan masyarakat, perlindungan sosial, kesihatan, kemiskinan, pendidikan, peluang pekerjaan, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar. Program “Anugerah Syawal” merupakan inisiatif Kelab Pensyarah UiTM Cawangan Pahang bagi menyempurnakan kelestarian hidup dengan mengambil langkah membantu pelajar asnaf dengan bantuan kewangan, pakaian dan makanan. Walaupun jumlah pelajar dari golongan miskin tegar ini tidaklah begitu ramai, namun ianya dianggap sebagai sumbangan kecil dari Kelab Pensyarah dalam mencapai SDG 1 bagi menamatkan kemiskinan. Memandangkan pelajar merupakan elemen penting dalam merangka ekonomi di masa akan datang, program ini juga memenuhi SDG 2 iaitu tiada pelajar yang kelaparan bagi memastikan pembelajaran berkualiti dapat dilaksanakan.
Bertepatan dengan keberkatan bulan Ramadhan pada tahun 2021, penganjuran program Anugerah Syawal yang julung kalinya diadakan ini memberi peluang para pensyarah untuk berkongsi rezeki dengan tujuh pelajar asnaf di UiTM Cawangan Pahang. Program ini telah dilaksanakan pada 3/5/2021, bertempat di Anjung Khazanah. Hasil sumbangan telah diserahkan oleh Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan kepada pelajar-pelajar asnaf berkenaan. Pakej Ramadhan yang disumbangkan berupa:
1. Tudung / Kain pelikat
2. Sumbangan duit raya
3. Manisan/Makanan
Antara intipati ucapan rektor kepada penyumbang dan penerima, “Program Anugerah Syawal yang dilaksanakan ini adalah untuk menyantuni serta membantu pelajar asnaf untuk menghadapi bulan Ramadan dan musim perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi disamping menjadikan pelajar tetap menjalankan tanggungjawab sebagai penuntut ilmu yang bertanggungjawab”.
Wakil kepada pelajar asnaf mengucapkan terima kasih kepada Kelab Pensyarah dan pihak UiTM Cawangan Pahang atas sumbangan dan bantuan yang diberikan. Majlis berakhir dengan sesi bergambar Bersama Rektor, Prof Ts. Dr. Mohd Ilham Adenan, Pengerusi Kelab Pensyarah, Pn. Sulaila Bakar dan penerima sumbangan UiTM Cawangan Pahang. Berdasarakan pelan strategik universiti, penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat memberi semangat kepada pelajar agar belajar bersungguh-sungguh agar dapat keluar dari kelompok kemiskinan dan seterusnya membantu meningkatkan ekonomi negara yang mana memenuhi Teras SDG 1 iaitu tiada kemiskinan dan SGD 2 iaitu kelaparan sifar.