Anugerah Persatuan Pelajar Cemerlang 2020 di Peringkat Antarabangsa

The Society of Petroleum Engineers (SPE) UiTM Student Chapter telah dikurniakan Anugerah Persatuan Pelajar Cemerlang 2020 sebagai penghargaan ke atas usaha giat dalam mencapai tujuan sebagai oraganisasi pelajar, sejajar dengan misi SPE dalam jaringan industri dan masyarakat. Kejayaan ini merupakan kejayaan pertama mereka sejak penubuhannya pada tahun 2013 di UiTM.

Anugerah ini merupakan anugerah peringkat antarabangsa yang diberikan oleh SPE yang berpusat di Amerika Syarikat dan merupakan anugerah kedua tertinggi yang boleh dicapai oleh persatuan pelajar. Anugerah diberikan setiap tahun kepada 20 peratus persatuan pelajar yang layak di seluruh dunia.

“Penghargaan ini sangat bermakna bagi kami setelah usaha gigih kami dalam menguruskan dua acara antarabangsa, iaitu EEC dan SMOGC2020,” kata Presiden SPE Zharif Zhainulazfar Mohd Asri.

Energy and Environment Competition (EEC) and SPE Student Chapter Malaysia Oil & Gas Convention (SMOGC) merupakan dua acara antarabangsa utama yang telah dianjurkan oleh organisasi pelajar tersebut.

“Kami tidak akan dapat menerima anugerah berprestij ini tanpa sokongan dan bimbingan daripada pensyarah kami. Terima kasih khasnya kepada Penasihat kami Dr Nor Roslina Rosli; Ketua Pusat Pengajian Minyak dan Gas, Ir Ts Dr Nur Hidayati Othman, dan koordinator persatuan pelajar YM Tengku Amran atas pengorbanan masa mereka dalam membimbing kami menjadi pemimpin masa depan,” kata Abdul Halim Asmungi, Naib Presiden SPE.

Menurut setiausaha persatuan, Muhammad Afif Ahmad Murad, mereka memastikan bahawa aktiviti persatuan dijalankan pada setiap bulan. Mereka menghargai segala bantuan, ilmu dan kepercayaan yang telah diberikan oleh SPE Kuala Lumpur dan juga syarikat-syarikat yang terlibat.

“Anugerah ini menjadi motivasi bagi kami untuk berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai anugerah tertinggi iaitu Anugerah Presiden yang setiap tahun dianugerahkan di Amerika Syarikat,” ujar Afrina Abdullah, bendahari SPE.