TAWAU: Seramai 367 mahasiswa baharu bagi Sesi Mac – Ogos 2023 Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) telah mengikuti Amanat Rektor sempena Program Minggu Destini Siswa (MDS) UiTM bertempat di Makmal Bahasa, UiTMCSH Kampus Tawau pada 15 Mac 2023 yang lalu.
Uniknya, amanat kali ini diadakan secara hibrid melalui dua platform iaitu secara fizikal dan lintas langsung Facebook Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Cawangan Sabah yang telah dihadiri 26 pelajar program Pra Diploma Perdagangan di Kampus Tawau dan 341 pelajar program pengajian peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di Kampus Kota Kinabalu.
Dalam ucapannya, Rektor UiTM Cawangan Sabah, YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Hj. Abdul Kadir Hj. Rosline mengalu-alukan kehadiran semua mahasiswa baharu dan menyampaikan amanat secara santai, penuh jenaka tetapi sarat dengan penegasan tentang kepentingan jati diri dalam menggalas tanggungjawab sebagai pelajar UiTM.
Selaras dengan falsafah UiTM, semua pelajar dinasihatkan untuk mengambil peluang yang terbuka luas, lebih bersemangat dan berkeyakinan untuk meneruskan cita-cita, berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan ilmu pengetahuan dengan menekankan aspek kurikulum, kokurikulum dan ekstra kurikulum serta kebolehan menonjolkan elemen dalam kebolehpasaran graduan.
Tambah Rektor, pendidikan adalah satu destini untuk mengubah diri, keluarga, masyarakat dan negara. Oleh hal yang demikian, khususnya kepada pelajar yang telah ditawarkan program Pra Diploma Perdagangan di bawah PPT di Kampus Tawau, hendaklah menggunakan kesempatan yang diberikan UiTM untuk menimba ilmu pengetahuan dalam tempoh lima bulan sebagai persediaan mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Istimewanya, Datuk Rektor adalah merupakan alumni Pra Diploma UiTM dan beliau sempat berkongsi pengalaman suka duka dan cabaran semasa bergelar pelajar. Diharapkan, perkongsian oleh beliau akan dapat memberikan motivasi kepada pelajar baharu untuk mencapai tujuan dan aspirasi dalam hidup yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
“Kejayaan tidak datang bergolek, menuntut pengorbanan, kerja keras dan sebagai pelajar universiti memerlukan “level of hard work” yang luar biasa”, jelas Datuk Rektor lagi.
Turut hadir, YBhg. Datin Dr. Rafidah Datuk Hj. Salleh, Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Tuan Hj. Muliyadi Hj. Guliling, Koordinator Kampus Tawau, Encik Mohamad Hasimi Abdullah, Timbalan Pendaftar, Tuan. Hj. Samsuddin Mohd. Amin, Timbalan Bendahari dan Encik Adzwa Kamri, Pegawai Sukan Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTMCSH.
Sebagai makluman, pelajar baharu UiTMCSH telah mengikuti Program MDS bermula dari 12 hingga 17 Mac 2023.