Amanat Rektor UiTM Cawangan Perlis: Tujuh Tujahan Mendukung Misi GRU2025

ARAU – Telah berlangsung Majlis Amanat Rektor UiTM Cawangan Perlis pada 23 Mac 2022. Majlis tersebut disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube rasmi UiTM Cawangan Perlis.

Amanat Rektor tahun 2022 menggariskan tujuh tujahan yang perlu dicapai kampus UiTM Cawangan Perlis yang merangkumi (1) ketampakan dan impak kampus; (2) pendidikan berkualiti; (3) pembangunan bakat pelajar; (4) pembangunan bakat staf dan kecekapan tadbir urus; (5) pemantapan penyelidikan dan penerbitan; (6) jaringan industri, komuniti, alumni dan perkongsian pintar; serta (7) pembangunan insfrastruktur dan infostruktur.

Amanat disampaikan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis kesepuluh yang dilantik pada November 2021. Dalam memperkasakan entiti UiTM Cawangan Perlis ke tahap lebih cemerlang, slogan ‘Meremajakan UiTM Cawangan Perlis’ diperkenalkan.

“Slogan ‘Meremajakan UiTM Cawangan Perlis’ tertumpu kepada usaha memberikan nafas baharu kepada roh dan semangat UiTM Cawangan Perlis melalui pemerkasaan bakat staf dan kecekapan tadbir urus,” ucap Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim dalam amanat sulung beliau.

Selain itu, beliau juga menzahirkan harapan agar keluarga besar UiTM Cawangan Perlis mempertingkatkan usaha dan komitmen untuk mengangkat pencapaian kampus ke tahap yang lebih membanggakan, sekaligus menjadi pemacu kepada sistem UiTM untuk mencapai taraf Globally Renowned University menjelang 2025.