Amanat Pengarah Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) Di UiTM Cawangan Pulau Pinang

Amanat Pengarah PPT telah berlangsung secara bersemuka di Bilik Perdana 1, UiTM Cawangan Pulau Pinang. Ia melibatkan semua pelajar pra diploma UiTM Cawangan Pulau Pinang dan UiTM Cawangan Kedah pada 15 April 2022 (Jumaat) jam 3 petang. Antara tujuan pertemuan ini diadakan adalah untuk menyampaikan amanat dan nasihat kepada para pelajar PPT bagi meningkatkan kefahaman dan rasa tanggungjawab terhadap peri penting aspek pendidikan demi masa hadapan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada para pelajar PPT berinteraksi dan berkomunikasi secara dekat dengan Pengarah PPT. Hal ini menjadikan ia satu platform istimewa bagi Pengarah PPT untuk menjawab segala pertanyaan daripada para pelajar.

Menariknya, aturcara program ini diuruskan oleh para pelajar dengan dipengerusikan oleh saudara Afiq Mustaqim Bin Asmazul Iskandar dan saudari Puteri Zahira Binti Zul Azeman. Majlis dimulakan dengan bacaan doa juga dipimpin oleh pelajar saudara Muhammad Farhan Bin Faizal. Hampir 3 jam Yang Berbahagia Prof Madya Ts. Dr. Aini Jaapar merangkap Pengarah PPT, meluangkan masa bersama para pelajar dengan sesi penyampaian amanat beliau. Banyak nasihat serta kata-kata semangat telah dikongsikan.

Menurut salah seorang pelajar, Nur Delailah Binti Mohamad Yunus “Setelah tamat sesi amanat Pengarah PPT saya rasa lebih bersemangat dan lebih jelas dengan hala tuju kenapa saya memilih untuk menyambung pengajian di UiTM ini. Saya akan berusaha sedaya upaya saya untuk membuktikan bahawa kegagalan mendapat keputusan cemerlang semasa mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas bukanlah gagal selama-lamanya. Saya akan buat yang terbaik untuk menyambung pengajian ke penerapan diploma UiTM”.

Turut hadir dalam pertemuan ini adalah Puan Suhaiza Hasan merangkap Koordinator PPT UiTM Cawangan Pulau Pinang, Pn Nurdiana Hassan merangkap Koordinator PPT UiTM Cawangan Kedah dan Encik Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh merangkap Koordinator UiTM Cawangan Perlis. Selain itu Dr Ani Mazlina Dewi Mohamed selaku Ketua Unit Akademik PPT dan Dr. Leylawati Joremi selaku Felo Promosi dan Alumni PPT juga Bersama memeriahkan pertemuan pada petang ini.

Pertemuan amanat Pengarah PPT ini telah berjalan dengan lancar dan tamat pada jam 5.45 petang. Semoga semua pelajar dapat memanfaatkan segala nasihat yang telah diberikan untuk terus melonjak potensi diri mencapai kecemerlangan.