Amalan 3R di Sekolah: Jom Asing, Kumpul dan Letak!

Pada 6 Februari 2024 yang lepas, satu ceramah berkenaan 3R telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Iskandar (SMeKSI), Seri Iskandar, Perak.  Ceramah yang dianjurkan oleh Sekolah Menengah Seri Iskandar ini merupakan kesinambungan kepada Bengkel Penyediaan Sudut Amalan 3R di Sekolah yang telah diadakan pada 13 Disember 2023.  Perkongsian pengetahuan 3R kepada murid Tingkatan 1 dan 2 ini telah bermula pada jam 3 petang dan berlangsung selama 2 jam.  Seramai 258 orang pelajar dan 6 orang guru telah menghadiri ceramah ini.

Pengisian ceramah ini telah dikendalikan oleh dua orang pensyarah dari Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perak iaitu Profesor Madya Ts Dr. Siti Akhtar Mahayuddin dan Dr Noor Rizallinda Ishak.  Sesi ceramah ini telah diselang selikan dengan kuiz untuk menarik tumpuan dan kefahaman peserta terhadap isi kandungan ceramah yang diberikan.

Sesi ceramah yang pertama telah dikendalikan oleh Dr Noor Rizallinda Ishak.  Beliau telah memberikan ceramah bertajuk Kenali Sisa Pepejal di Sekolah.  Pengetahuan dan kesedaran mengenai impak negatif sisa pepejal kepada alam sekitar dan manusia perlu difahami terlebih dahulu agar sisa pepejal dapat diuruskan dengan lebih baik.  Impak negatif tersebut ialah pencemaran alam sekitar, banjir kilat dan penularan penyakit.  Oleh itu, jenis sisa pepejal yang dihasilkan di kawasan sekolah perlu dikenali sifat-sifatnya untuk membantu para peserta menguruskan sisa pepejal mengikut hierarki pengurusan sisa pepejal.

 

Amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) merupakan tiga amalan yang paling dikehendaki mengikut hierarki pengurusan sisa pepejal. Manakala Pelupusan adalah amalan yang paling rendah dalam hiearki pengurusan sisa pepejal.  Penceramah yang kedua, Prof Madya Ts Dr Siti Akhtar Mahayuddin telah berkongsi pengetahuan dan pengalaman berkenaan amalan 3R dengan ceramah bertajuk Amalan Asing-Kumpul-Letak (AKL) di Sekolah.  Konsep AKL ini merupakan panduan ringkas kaedah mengasingkan, mengumpul dan meletakkan sisa pepejal mengikut jenis dan hierarki pengurusan sisa pepejal. Demonstrasi AKL sisa pepejal plastik bagi 4 hierarki pengurusan sisa pepejal iaitu Pengurangan, Guna Semula, Kitar Semula dan Lupus telah diadakan untuk menambah kefahaman para peserta.

Program ceramah ini telah diakhiri dengan aktiviti AKL sisa pepejal.  Para peserta telah mengasingkan sisa pepejal mengikut jenis (ASING), meleperkan botol plastik dan kotak minuman (KUMPUL) dan meletakkan sisa pepejal untuk guna semula, kitar semula atau lupus (LETAK).  Tindakan meleperkan sisa pepejal ini dapat menjimatkan ruang penyimpanan semasa peringkat pengumpulan sisa pepejal.  Maka lebih banyak sisa pepejal yang boleh dikitar semula dapat dikumpul.  Lebih banyak sisa pepejal yang dikumpul untuk kitar semula dapat mengurangkan jumlah sisa pepejal di hantar ke tapak pelupusan sampah.  Seterusnya impak negatif sisa pepejal kepada alam sekitar dan manusia dapat dikurangkan.  Oleh itu, jangkaan impak ceramah ini adalah semua peserta telah mendapat maklumat dan cara menguruskan sisa pepejal terutamanya plastik sekali guna dengan lebih baik.