Alumni UiTM – Wan Bainun Zaizodin : Pertaruhkan motif etnik untuk buka butik sendiri

Di hadapan butiknya yang terletak di China Street, Kuching. (FOTO: BERNAMA (2019)

KUCHING – Kerana minat yang mendalam dalam bidang fesyen serta mahu memartabatkan industri kain tenun bermotifkan corak etnik Sarawak telah mendorong pereka fesyen muda Wan Bainun Wan Zaizodin, 29, untuk memulakan perniagaan pakaian dengan membuka sebuah butik yang dinamakan butik Wan Bynun di China Street hari ini.

Anak kelahiran bumi Kenyalang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Rekaan Fesyen dari Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Shah Alam memberanikan diri untuk memulakan perniagaannya sendiri dengan menjual baju-baju rekaannya di butik yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuching dengan hanya bermodalkan RM6,000 sahaja.

Wan Bainun ingin membantu meletakkan Sarawak dalam peta fesyen dunia menerusi rekaannya yang turut menjadi pilihan pelancong dari luar Malaysia. (FOTO: BERNAMA (2019)

Menyingkap antara cabaran awal dilalui sebelum membuat keputusan membuka butik sendiri, kata Wan Bainun, kebanyakan koleksi yang dihasilkannya dihantar ke vendor butik.

“Ketika itu, saya hantar secara random tanpa mengkaji target market. Akibatnya, sales tak ada dan duit habis hanya untuk bayar rental vendor,” ceritanya ketika dihubungi Kampus Uols.

Wan Bainun memberanikan diri memulakan perniagaan dengan modal RM6,000 sahaja. (FOTO BERNAMA (2019)

Tidak berputus asa, Wan Bainun sempat bekerja makan gaji selama hampir setahun di TM.

“Pada masa sama, saya pindahkan koleksi dengan menghantar ke sebuah butik di pusat beli belah The Hills, Pullman Kuching. Alhamdulillah, di situ feedback sangat bagus. Sales pun sangat positif. Dari situlah saya mula belajar sasaran sebenar untuk koleksi pakaian saya.

“Selepas beberapa bulan kumpul semula modal, saya buat keputusan untuk membuka butik sendiri di China Street,” kongsi Wan Bainun lagi yang turut menjual secara dalam talian seperti di Instagram @wanbynun dan facebook @WanBynun.

Baginya, jatuh bangun penglibatan dalam bidang diminatinya ini banyak didorong dan disokong ibu bapa yang menurut Wan Bainun sentiasa ada di sisi.

“Mereka sentiasa ada menyokong apa saja yang saya buat. Selain keluarga, sebab lain saya buat bisnes ini pada saya, inilah juga cara saya membantu mempromosikan negeri kelahiran saya, Sarawak di samping meletakkan Sarawak dalam peta fesyen memandangkan kebanyakan pelanggan saya juga merupakan pelancong yang datang dari luar Malaysia seperti New York, Paris, Jepun, Taiwan dan banyak lagi,” ujarnya lagi.

Wan Bainun menunjukkan antara corak kain yang ada di butiknya. (FOTO: BERNAMA (2019)

Tidak hanya bersandarkan pengetahuan dan pengalaman pengajian ketika di universiti, Wan Bainun turut mengambil peluang dengan menyertai pelbagai pertandingan fesyen yang dianjurkan di dalam dan luar negara antaranya Sarawak Fashion Award 2016, Sarawak Fashion Fiesta 2016, Borneo Fashion Week 2017 dan Borneo International Beads Conference Fashion Show 2017.

Oleh: Norhayati Alli
Sumber: https://kampusuols.com/article/428324/U-In-News/SABAH-SARAWAK/Pernah-alami-kerugian-tapi-ada-sebab-graduan-fesyen-ini-tak-serik-pertaruhkan-motif-etnik-untuk-buka-butik-sendiri

0
0