Alumni UiTM – Nurul Suhaida : Tauke Pakaian Terpakai



Nurul Suhaida Abu Sopian menunjukkan antara kasut sukan yang dijual di Sasuke Premium Outlet di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Kebiasaannya perniagaan pakaian terpakai hanya dimonopoli golongan lelaki. Namun berbeza dengan Nurul Suhaida Abu Sopian, 27, yang menjadikan bidang itu sebagai kerjayanya.

Minat dan tekad dalam bidang keusahawanan mendorong Nurul Suhaida menceburkan diri dalam perniagaan pakaian terpakai di Sasuke Premium Outlet (SPO) yang kini mempunyai lima cawangan.

Nurul Suhaida yang merupakan anak kelahiran Sentul, Kuala Lumpur bersyukur kerana SPO kini merupakan antara pengimport terbesar pakaian berjenama terpakai dari Jepun dan Korea Selatan.

Berkelulusan Ijazah Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nurul Suhaida berjinak-jinak dengan perniagaan itu selepas dipelawa oleh bapa saudaranya, Zainal Othman yang merupakan pengasas SPO.

“Saya memegang jawatan sebagai pengarah di SPO. Sepanjang mengurus perniagaan, saya banyak menerima nasihat dan tunjuk ajar daripada bapa saudara yang banyak membantu memajukan perniagaan.

“Alhamdulillah, SPO kini semakin berkembang dan mempunyai lima cawangan iaitu di Danau Kota (Setapak), Kampung Pandan, Bandar Seri Permaisuri (Cheras), Bandar Baru Bangi dan Kajang,” katanya ketika ditemui Mega Rona di kedainya di Bandar Baru Bangi,Selangor baru-baru ini.

Sasuke Premium Outlet (SPO)

Menurut Nurul Suhaida, SPO pada awal penubuhannya bermula dengan perniagaan pakaian terpakai di ‘down town’ dan kini segalanya berubah selepas mendapat penerimaan yang baik daripada pelanggan.

Berkongsi cerita penglibatannya dalam perniagaan pakaian terpakai, Nurul Suhaida berkata, dia ditawarkan untuk menguruskan SPO oleh bapa saudaranya pada 2014 iaitu ketika masih menuntut di UiTM Negeri Sembilan.

“Bertitik tolak dari itu, saya terus fokus kepada perniagaan dan berjaya mengembangkan lagi SPO. Kami kini mempunyai satu lagi nama baharu di bawah SPO iaitu Bundles.my.

“Sekarang Bundles.my mempunyai dua cawangan iaitu di Rawang dan Pelabuhan Klang. Pada tahun ini saya menyasarkan membuka 10 cawangan lagi di bawah nama Bundles.my,” katanya.


SASUKE Premium Outlet menjadi tumpuan penggemar fesyen yang diimport dari Jepun dan Korea Selatan.

Jelasnya, selain menjual pakaian terpakai, SPO turut melebarkan sayapnya dengan menjadi pengeksport pakaian terpakai ke Filipina, Bangladesh, Indonesia dan beberapa negara Afrika.

Menurutnya, pakaian terpakai yang dijual di SPO mendapat tempat dalam kalangan pelanggan kerana barangan yang dijual berkualiti selain konsep butik yang diperkenalkan di semua cawangannya.

“Kita jual semua daripada barangan kanak-kanak sehingga dewasa untuk lelaki dan wanita. Harga yang ditawarkan amat berpatutan bermula RM15 dan pelanggan juga dapat menikmati diskaun sehingga 50 peratus,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sebanyak empat hingga enam kontena pakaian terpakai sampai pada setiap bulan sebelum diasingkan terlebih dahulu mengikut gred bagi menentukan harga sebelum dipasarkan.

“Barangan akan dibersihkan terlebih dahulu di kilang SPO di Kapar bagi meyakinkan pelanggan terutama dari aspek kebersihan selain menjaga kualiti setiap barangan yang ingin dipasarkan,” katanya.


Nurul Suhaida bersama dua pekerjanya.

Oleh: Hakimi Ismail
Sumber: http://www.utusan.com.my/mega/rona/nurul-suhaida-tauke-pakaian-terpakai-1.845868#ixzz5gVyq80oe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0
0