Alumni UiTM – Nurul Dhiya : Modal permulaan RM100,000

Nurul Dhiya Dzahar (kanan) memeriksa tahap penglihatan mata seorang pelanggan.

Sungguhpun tidak memiliki banyak pengalaman dalam bidang diceburi, namun seorang optometris wanita, Nurul Dhiya Dzahar, 30, tekad mengusahakan perniagaan di Pusat Perdagangan Meru Impian, Ipoh, Perak sejak September 2015. Beliau mendapat galakan dan sokongan ahli keluarga untuk menguruskan kedai cermin mata di situ.

Dengan memiliki kelayakan akademik Ijazah Sarjana Muda Optometri (Kepujian), Universiti Teknologi Mara (UiTM), wanita gigih ini menjalankan perniagaan dengan dibantu lima kakitangannya. Anak kedua daripada tiga beradik itu tamat pengajian pada 2014 dan pernah bekerja di Suria Optometri, Medan Gopeng, Ipoh selama 10 bulan.

Sungguhpun pengalaman bekerja itu terlalu singkat, namun beliau sudah mempraktikkan perkhidmatan pemeriksaan mata dari awal penglibatan dalam bidang tersebut.

Nurul Dhiya Dzahar sedang menunjukkan model bingkai cermain mata kepada seorang pelanggannya.

“Saya berpendapat tidak ada istilah perlu bekerja selama beberapa tahun baru layak menceburi perniagaan. Yang penting adalah minat dan saya sememangnya berminat dalam bidang ini kerana ingin memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya penjagaan kesihatan mata dan membuat pemeriksaan mata secara berkala,” katanya kepada Mega Rona.

Dengan menggunakan modal permulaan sebanyak RM100,000 daripada sumbangan ibu bapa, Nurul Dhiya bersyukur kerana ibunya, Rusni Ahmad; bapanya, Dzahar Yaakub; adik-beradik; keluarga dan rakan-rakan sentiasa menyokong perniagaannya.

Membuka kedai setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 8.30 malam, Nurul Dhiya memberitahu, kedainya sentiasa dikunjungi pelanggan pelbagai peringkat umur dan kaum.

CABARAN BERNIAGA

Nurul Dhiya Dzahar sentiasa fokus ketika berkongsi maklumat kesihatan mata dengan pelanggan.

“Antara cabaran dalam perniagaan ini adalah persaingan dengan peniaga yang sudah lama bertapak dalam bidang tersebut. Selain itu kesulitan dihadapi di peringkat permulaan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya mendapatkan pemeriksaan mata daripada optometris terlatih,” katanya.

Nurul Dhiya berkata, firma perniagaannya mendapat bekalan cermin dan bingkai dari dalam dan luar negara melalui pembekal di Malaysia.

Beliau berkata, harga cermin mata dan bingkai bergantung kepada kualiti, reka bentuk dan jenama. Setakat ini katanya, sambutan daripada pelanggan pelbagai kaum sangat baik.

“Antara keistimewaan premis perniagaan ini adalah menawarkan pemeriksaan mata menyeluruh. Bukan setakat mengetahui jenis cermin mata, malah mata pelanggan turut diperiksa sama ada mereka mengalami masalah katarak atau tidak,” tambahnya.

Menurutnya, jika masalah katarak yang dialami sudah teruk, maka penukaran cermin mata tidak akan menyelesaikan masalah tersebut.

Tambahnya, penyakit seperti glaukoma, kencing manis dan darah tinggi juga boleh mempengaruhi tahap penglihatan seseorang.

Justeru katanya, dengan melakukan pemeriksaan mata secara terperinci barulah penyelesaian terbaik dapat dicapai dalam mengatasi masalah penglihatan.

Selain itu Nurul Dhiya berkata, kedainya juga mempunyai klinik kanta lekap yang boleh memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada pelanggan mengenai pengendalian kanta lekap yang selamat.

Bagi menarik pengunjung, kedai beliau turut dilengkapi dengan tempat permainan kanak-kanak.

Beliau berharap masa hadapan perniagaannya akan lebih baik sekali gus mampu memberikan perkhidmatan kesihatan mata terbaik kepada masyarakat.

“Saya akan menambah alatan yang lebih canggih dan berteknologi tinggi di kedai ini,” katanya.

Antara perancangannya adalah menambah baik kemudahan dan peralatan supaya pelanggan dapat membuat lebih banyak pilihan di samping menawarkan perkhidmatan kesihatan mata yang terbaik.

Oleh : Azmi Abdul Malek
Sumber: http://www.utusan.com.my/mega/rona/modal-permulaan-rm100-000-1.876574#ixzz5kT0xc4Yn
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0