Alumni UiTM – Nur Salsabila Abdullah : Bella mahu jadi usahawan berjaya

Nur Salsabila Abdullah, Alumni UiTM

PASTINYA setiap individu mempunyai cita-cita dalam merealisasikan matlamat hidup yang diidamkan untuk masa depan lebih cerah.

Tanpa perancangan rapi, sesuatu impian itu disifatkan seperti angan-angan Mat Jenin yang mengharapkan sesuatu kejayaan tanpa sebarang usaha.

Mana tidaknya, ibarat menjadi trend kebanyakan anak muda masa kini dilihat lebih gemar menunggu kejayaan datang bergolek tanpa berusaha merebut peluang tersedia.

Namun, berbeza bagi figura kecil molek ini, Nur Salsabila Abdullah atau lebih dikenali sebagai Bella yang lebih bersemangat untuk mendalami ilmu keusahawanan demi mencapai impiannya membina perniagaan sendiri suatu hari nanti.

Nur Salsabila Abdullah atau dikenali sebagai Bella

Bella kini berkhidmat sebagai pengurus jualan sebuah butik pakaian demi memahami selok-belok bidang perniagaan yang dijalankan.

“Tidak dinafikan semua orang mahukan masa depan cerah dan saya sedar bahawa langkah awal yang dilakukan pada hari ini akan menjadi penentu kepada kejayaan masa akan datang.

“Yang penting kita tidak boleh mudah putus asa dan jangan pernah berhenti berusaha untuk mencapai sesuatu yang kita inginkan,” katanya.

Tambah gadis kelahiran Jitra, Kedah ini, antara cabaran terbesar perlu ditempuh dalam mencapai cita-cita adalah memupuk sifat sabar dalam diri.

“Ini merupakan cabaran terbesar buat saya, namun saya perlu berlatih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan tahap kesabaran terutama menghadapi setiap ujian hidup tidak dijangka.

“Antara yang utama adalah sabar menunggu kejayaan tiba dan tidak perlu mengharapkan kejayaan segera yang sudah semestinya mustahil,” katanya.

Menurut Bella yang merupakan graduan Sains Geometik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), dia mempunyai prinsip agar tidak mudah terikut-ikut dengan sikap orang lain.

“Buatlah perkara yang sesuai untuk diri sendiri berdasarkan kemampuan dan bukannya mengikut perkara yang dilakukan orang lain sehingga memudaratkan diri.

“Orang lain nampak popular, biarkanlah, itu kelebihan dan rezekinya. Kita bina sejarah diri kita sendiri dan bukannya cuba menjadi orang lain,” katanya.

Selain itu, Bella yang merupakan anak kedua daripada empat beradik ini turut gemar menjaga kecantikan dari segi penjagaan kulit, solekan dan bentuk badan.

“Antara amalan yang saya lalukan adalah sentiasa minum air masak sekurang-kurangnya tiga liter sehari untuk membuang toksin dalam badan, mencantikkan kulit dan membakar kalori sekali gus membantu kita untuk memiliki tubuh yang ideal.

“Selain itu, tip paling penting adalah elakkan stres kerana ia boleh mempercepatkan penuaan,” katanya.

Oleh : Zeti Farzana Alpikri
Sumber: http://www.utusan.com.my/mega/rona/bella-mahu-jadi-usahawan-berjaya-1.921696

1
0