Alumni UiTM – Mohamed Aizuddin Zubir : Nikmat sajian Kambing Terbang

Menu di Restoren Kambing Terbang

Kambing Terbang menjadi pilihan tiga sahabat di Senawang, Negeri Sembilan sebagai jenama produk yang hendak mereka ketengahkan kepada khalayak ramai.

Mohamed Aizuddin Mohamed Zubir, Muhammad Haikal Mahdi dan Mohd. Helmi Zaini berharap jenama itu mampu membawa mereka terbang tinggi dalam dunia perniagaan.

Mohamed Aizuddin Mohamed Zubir

Menurut Mohamed Aizuddin, nama itu dipilih dalam tempoh dua minggu bagi memikirkan perkataan yang sesuai selepas mereka memutuskan untuk menceburi dunia perniagaan pada 2014.

“Kami mahu sesiapa sahaja yang menikmati hidangan kambing yang disediakan ini berasa sedap seperti di awangan. Nama Kambing Terbang mudah diingat dengan tag line sekali rasa pasti di awangan,” katanya.

Lulusan Diploma Kulinari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, restoran Kambing Terbang memulakan perniagaan pada 2015 dan sehingga kini mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan penggemar daging kambing.

Katanya, sebanyak tiga hidangan kambing disediakan di restoran tersebut iaitu panggang, smoke BBQ dan goreng dengan harga RM5 untuk setiap 100 gram daging.

“Hidangan kambing ini disediakan menggunakan 20 jenis rempah tradisional dan Barat yang diadun sendiri bagi menghasilkan keenakan tersendiri. Selain kambing, pelanggan juga boleh memilih menu ayam terbang panggang, spageti carbonara, nasi butter, kentang goreng dan roti garlic,” ujarnya.

Mohamed Aizuddin berkata, resipi masakan kambing itu telah diuji banyak kali bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

Jelasnya, setiap kali menghasilkan resipi baharu, beliau akan memberi masakan tersebut kepada orang lain bagi mendapatkan maklum balas mereka.

“Saya anggap resipi berkenaan telah mencapai tahap terbaik jika tiada lagi aduan daripada mereka,” katanya.

Beliau memberitahu, selain restoran, syarikat itu juga menawarkan produk sejuk beku dan masakan untuk acara.

 

Sumber:  http://www.utusan.com.my/mega/rona/nikmat-sajian-kambing-terbang-1.828703#ixzz5drgRwaAN

0
0