Alumni UiTM – Kamarul Zaman Zainan : Kini miliki empayar KIB

Alumni UiTM, Kamarul Zaman Zainan

‘Apabila matlamat jelas, halangan pasti me­ngecil’. Itu adalah pegangan seorang alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang sentiasa meletakkan matlamat jelas di hadapan kerana baginya kejayaan tidak akan datang bergolek dalam satu malam.

Menceritakan minat menceburi bidang perniagaan, anak kepada pasangan pengawal ke­selamatan dan guru tadika itu pernah menjual bubur jagung di sekolah dan pasar malam selain menjual kad gores tambah nilai bersama rakan sebaya di universiti.

Malah, Kamarul Zaman ­Zainan, 33, pernah bercita-cita besar untuk membuka sebuah kilang mikroskop yang memerlukan modal sekurang-kurang­nya RM30 juta.

Walaupun angan-angan itu terlalu besar untuk ditunaikan, beliau sebaliknya menunjukkan keseriusan sejak tujuh tahun lalu, apabila memulakan perniagaan menghasilkan bahan pencuci di sebuah rumah teres kecil yang terletak di Klang, ­Selangor.

Di situlah, beliau dan pasukannya menghasilkan sabun dan detergen secara manual menggunakan tangan tanpa sebarang peralatan mesin ber­teknologi tinggi.

Kilang berkembar dua tingkat milik Kazaza International Berhad yang sudah beroperasi di Semenyih, Selangor.

Bemula daripada penyelidikan, campuran bahan-bahan, pembungkusan, perdagangan sehingga proses penghantaran di premis tersebut, kini usahawan muda itu sudah membina empayar perniagaan melalui ­penubuhan Kazaza ­International Berhad (KIB) yang diperbadankan sebagai syarikat perdagangan kecil sejak 2012.

Memiliki lapan cawangan di Perlis, Terengganu dan Ne­geri Sembilan, KIB yang mempunyai 100 pekerja itu meraikan mercu tanda kecemerlangan apabila kini mempunyai kilang berkembar dua tingkat beroperasi di Semenyih, Selangor.

Menurut Kamarul Zaman yang juga Pengasas dan Pengerusi Eksekutif KIB, sebagai pembekal bahan cucian bagi industri berat seperti sektor automatif, perkapalan, pembinaan dan pembuatan, pihaknya menyasarkan nilai jualan se­banyak RM10 juta sebulan sebagai komitmen untuk tersenarai di Bursa Malaysia.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai dalam tempoh dua tahun kerana purata jualan bulanan semasa mencecah antara RM500,000 sehingga RM2 juta dengan purata pengeluaran produk minimum 100 tan detergen dalam masa sehari.

“KIB sekarang sudah berkembang menjadi satu daripada syarikat pelbagai industri di ­negara ini dan produk kita seperti jenama Panthera berjaya mendapat sambutan meng­galakkan daripada pengguna industri dan negara jiran.

“Ini kerana, kami yakin produk yang dihasilkan mempunyai kualiti, harga premium dan strategi pemasaran produk yang berkesan sehingga kita berjaya mengeksport ke Singapura, Thailand dan Indonesia.

“Malah, kita juga bakal mengeksport produk ke enam negara baharu iaitu Vitenam, Filipina, Kemboja, Brunei, Jepun dan Australia pada ­tahun ini,” katanya dalam Majlis Pelancaran Kilang KIB di Semenyih baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Kazaza Singapura, Supian Mustrah dan Ketua Bahagian Global KIB, Muhd. Nasharuddin Ghazali.

Mengulas lanjut, bekas guru sains itu berkata, produk detergen yang dihasilkan merupakan hasil penyelidikan serta formula yang dijalankan bersama Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam dengan kerjasama Agensi Penyelidikan dan Teknologi, SIRIM Berhad.

“Memang saya tidak nafikan pihak UiTM sangat membantu dengan membekalkan pakar terdiri daripada profesor, ­doktor, pelajar sarjana dan kemudahan makmal sehingga produk yang dihasilkan bersifat mesra alam dan mudah terurai,” jelasnya.

Demi menyahut seruan memperkasa agenda ekonomi bumiputera, Kamarul Zaman berkata, KIB memperkenalkan satu sistem untuk membantu rakyat negara ini menjana pendapatan sampingan dengan membuat kerja secara sambilan.

“Sistem yang kami tawarkan adalah Smart Branch (SB) dan Kazaza Entrepreneur (KE) kepada usahawan yang berminat menjana pendapatan sam­pingan sebanyak RM2,500 hingga RM35,000 dan mereka akan menikmati kelebihan se­perti pemberian Sijil Pemegang ­Lesen, sampel produk dan latihan kerjaya,” kongsinya.

  • Memulakan perniagaan di rumah teres pada 2012
  • Berkembang menjadi syarikat pelbagai industri
  • Mempunyai lapan cawangan dalam negara selepas tujuh tahun beroperasi
  • Produk sudah dieksport ke tiga buah negara
  • KIB turut terlibat dengan perundingan, logistik, pembuatan dan perdagangan
  • Info lanjut di kazazagroup.com

Oleh: Hasif Idris
Sumber: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/kamarul-kini-miliki-empayar-kib-1.891180

Oleh:

0
0