Alumni UiTM – Hawa Rizwana Redzuan : ‘Berlakon? Biarlah dulu…’

Hawa Rizwana Ahmad Redzuan . Foto : Instagram-hawarizwana

KUALA LUMPUR: Penyampai Buletin Utama TV3, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan belum terfikir mengembangkan bakat dalam dunia seni termasuk menjadi pelakon.

Instafamous berusia 23 tahun ini memberitahu, dia mahu fokus dengan bidang penyiaran dan enggan terburu-buru mencuba perkara lain.

“Biarlah saya kukuh dan beri tumpuan kepada dunia penyiaran dan kewartawanan… Masih terlalu banyak yang perlu saya perlu pelajari.

“Saya tak mahu terburu buru dalam membuat sesuatu, saya kena ikut rentak,” katanya kepada BH Online.

Hawa berkata, dia pernah ditawarkan berlakon ketika membaca berita di TV9.

“Namun, ketika itu, saya putuskan mahu terus menjadi pembaca berita.

“Buat masa ini, memang ada tawaran berlakon drama pendek dan iklan yang diterima, tapi saya membataskan diri agar tidak serius dalam bidang lain.

“Kalau pada masa depan ada peluang berlakon, saya tak pasti percaturannya… Esok atau lusa belum tentu,” katanya yang mengikut jejak bapanya, Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman yang juga bekas pengacara program Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan RTM pada era 1990-an.

Hawa Rizwana Ahmad Redzuan . Foto : Instagram-hawarizwana

Hawa yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), bercadang menyambung pengajian dalam bidang pendidikan di institusi sama.

Tambah Hawa, sejak dari dulu, dia suka mencuba pelbagai bidang.

“Saya juga minat bidang fesyen… Sebenarnya, saya tak terfikir hendak menjadi pembaca berita. Saya ikuti latihan ilmiah dengan produksi Wanita Hari Ini (WHI), dua tahun lalu.

“Ketika itu, saya ditawarkan menjadi pembaca berita di TV9. Semuanya terjadi dengan pantas. Selesai latihan industri, rezeki saya bekerja sebagai wartawan dan pembaca berita di TV9,” katanya.

Hawa berkata, selepas empat bulan bertugas di TV9, dia kemudian ditawarkan menjadi penyampai Buletin Utama sejak 1 Januari lalu.

Oleh: Zaidi Mohamad
Sumber: https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2019/04/548637/berlakon-biarlah-dulu

0
0