Alumni UiTM – Farah Tun Kamaruddin : Obses menjahit manik, labuci

PADA usia 22 tahun, Farah Tun Kamaruddin sudah boleh berbangga dengan jenama fesyennya sendiri. – UTUSAN/SURIYA BONMA

“Bila saya pegang jarum, manik dan labuci, saya lupa semua benda. Saya suka lihat manik dan labuci yang berkerlip sebab boleh jadi terapi diri, hilang rasa lapar dan penat.” Demikian pengakuan jujur Farah Tun Kamaruddin yang berasal dari Klang, Selangor.

Gadis manis berusia 22 tahun ini, tidak mempunyai latar belakang dalam rekaan fesyen, malah hanya belajar menjahit dengan tukang jahit biasa-biasa sahaja. Pun begitu, melihat jari-jemarinya yang pantas dan sedikit pun tidak kekok memasang satu persatu manik dan labuci yang kecil dan halus, ternyata dia sangat meminati kerja-kerja halus tersebut.

Minatnya dalam dunia perniagaan dan fesyen amat mendalam sehingga dia enggan menyambung pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana selepas menamatkan pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) tahun lalu.

Mengakui pada awalnya ibu bapa tidak merestui pilihan untuk tidak menyambung pengajian, namun ujar anak bongsu daripada empat beradik itu, dia berusaha untuk membuktikan bahawa minatnya itu akan membuahkan hasil.

Walaupun sering dipandang terlalu mentah dalam dunia perniagaan fesyen, Farah tidak berasa tergugat, malah menjadikan usianya yang muda itu sebagai pendorong untuk lebih agresif dalam menghasilkan sesuatu.

“Terus terang saya katakan bahawa saya sangat minat tentang apa sahaja yang cantik.Saya suka lihat perempuan cantik, pandai berhias, suka tengok baju-baju cantik dan semua benda cantik buat saya rasa teruja. Sebab itu saya tidak boleh tengok kalau baju-baju kosong, saya mesti nak tampal manik atau labuci pada baju itu, malah seluar denim pun saya rasa kena ada manik-manik dan labuci untuk memberikan aura mengerlip,” jelasnya yang kini membawa jenamanya sendiri, Farah Tunks.

Mula berniaga secara kecil-kecilan secara dalam talian, dia yang sangat mengagumi pereka fesyen Datuk Rizalman Ibrahim dan Nurita Harith, memasang cita-cita untuk mempunyai sebuah butik pakaian sendiri suatu hari nanti. Dia, yang memfokuskan rekaan fancy yang sesuai digayakan oleh golongan muda, mahu Farah Tunks menjadi antara jenama yang menyediakan pakaian kepada golongan wanita yang gemarkan gaya ringkas tetapi menarik.

Mengakui menceburi bidang perniagaan bukan semata-mata mahu mengejar wang, jelas Farah, barangan jualan tidak semestinya laku setiap hari, malah pernah juga dia hanya mampu memperoleh RM12 sahaja sehari. Pernah satu ketika, 200 helai baju yang dihasilkan untuk koleksi hari raya tidak dapat dijual kerana rosak dan menanggung kerugian apabila hampir sebahagian stok pakaian dijual basah akibat bumbung kedai sementara yang disewa bocor.

“Kalau saya nak mengalah, dah lama saya mengalah, malah usia yang baru 22 tahun sering dipandang seperti saya tidak mampu pergi lebih jauh dalam dunia perniagaan. Namun, saya tetap berusaha sehingga sekarang. Saya tidak takut pada persaingan kerana saya tahu bukan semua orang muda suka apa yang saya buat. Menjahit manik dan labuci setiap hari bukan kerja yang mudah kerana ia renyah, tetapi saya suka dan saya seronok melakukannya.

“Saya lebih suka bersendirian di kedai dan di rumah semata-mata untuk menjahit manik dan labuci serta mereka koleksi terbaharu untuk jenama Farah Tunks berbanding keluar bersosial dan membuang masa,” jelasnya.

Oleh: Siti Airunnisa Alaui
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/mega/obses-menjahit-manik-labuci-1.758538#ixzz5SjXI6AZT
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0