Alumni UiTM Cawangan Sarawak berjaya mendapat Geran TUBE

Dua orang alumni UiTM Cawangan Sarawak telah berjaya mendapat geran Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) daripada SME Corp. Marzukhin bin Aking merupakan pelajar Diploma Sains Fakulti Sains Gunaan yang bergraduat pada tahun 2019. Manakala Farihan Ismail ialah pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan.

Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) bertujuan untuk menggalakkan generasi belia untuk menceburi bidang perniagaan. Program tersebut menyasarkan golongan belia Bumiputera yang berumur di antara 18 hingga 30 tahun yang mempunyai minat yang mendalam untuk melibatkan diri secara aktif dalam bidang keusahawanan. Keutamaan diberikan khususnya kepada belia yang mempunyai sijil kemahiran asas daripada institusi latihan atau pusat kemahiran tempatan.

Replika cek telah disampaikan oleh YB Dato’ Sri Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi sempena Majlis Penutup Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 7.0 dan Pertukaran Memorandum Persefahaman bersama Serba Dinamik di Kota Samarahan pada 29 Ogos 2020 yang lalu.