Alumni UiTM Berkongsi Tips Senibina Dalaman Bersama Pelajar FSPU

Rekaan idea yang baik untuk rekabentuk sesebuah ruang pejabat mampu memberi impak yang hebat dalam meningkatkan prestasi perniagaan sesebuah syarikat. Pereka perlu mendalami visi dan misi, serta arah tuju sesebuah syarikat dan seterusnya menjadikan ini sebagai sasaran dalam meneliti keperluan dan keutamaan sepanjang proses penghasilan idea rekabentuk ruang pejabat. Pendapat ini dikongsi oleh Juni Haikal, Pengarah DITTO STUDIO dalam program ‘Designer’s Talk: Design for Designers’ yang telah berlangsung pada 21 Mei 2020 bersama pelajar senibina dalaman dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM Puncak Alam. Juni Haikal merupakan Alumni Diploma Rekabentuk Dalaman, graduan tahun 2011 dari UiTM Seri Iskandar, Perak.

Menurut beliau, sesebuah syarikat semestinya mahu mencapai visi yang telah ditetapkan. Staf merupakan tunjak utama yang memainkan peranan besar dalam kejayaan sesebuah syarikat. Justeru itu, pereka perlu memahami keperluan ruang kerja mereka, seiring dengan bidang tugas dan cara mereka beroperasi seharian di pejabat. Menerusi maklumat ini, ia mampu menjadi titik permulaan bagi pereka dalam usaha menghasilkan kreativiti serta menyelesaikan masalah ruang pejabat. “Ruang pejabat semestinya perlu memberi keutamaan dari segi praktikaliti berbanding nilai estetika semata,” katanya lagi dalam program bicara pereka ini.

Meletakkan diri sebagai pengguna kepada ruang yang direka adalah perkara yang wajar dilakukan bagi setiap pereka bagi mengelakkan pereka menghasilkan idea mengikut kehendaknya sendiri. Apabila ini berlaku, ia jelas akan mempamerkan kebijaksanaan pereka dalam penghasilan ruang yang bertepatan dengan keperluan pengguna ruang. Rekaan ruang yang bertepatan ini mampu memberi aura yang positif. Dari sudut psikologi, suasana kerja yang selesa ini mampu memotivasikan staf mewujudkan budaya kerja yang cemerlang dan kekal fokus dalam melaksanakan tugasan.

Meninjau kepada trend masa kini, ruang pejabat yang berkonsep terbuka dan lebih santai sering menjadi pilihan. Menurut beliau lagi, pemilihan rekabentuk dalaman pejabat yang bersifat terbuka atau lebih tertutup ini bergantung kepada cabang perniagaan yang dilakukan. Ruang pejabat yang terbuka lebih sesuai untuk perniagaan di atas talian yang memerlukan organisasi dan operasi kerja yang pantas dan sering berhubungkait. Namun begitu, rekabentuk dalaman pejabat perlu menitikberatkan nilai profesionalisme demi menyokong usaha syarikat membina nama dalam perniagaan yang diusahakan.

Pusat Pengajian Senibina Dalaman (PPSD) berterima kasih atas kesudian Juni Haikal untuk berkongsi ilmu bersama para pelajar. Program sebegini menjadi perintis bagi alumni yang membina karier dalam industri untuk berkongsi pengalaman mereka bersama bakal pelapis bidang rekabentuk dan alam bina di Malaysia. Program ini juga mampu memberi motivasi kepada pelajar dalam menyusun langkah bagi sebuah perjalanan menuntut ilmu yang diakhiri dengan kejayaan menjadi seorang pereka satu hari kelak.