Alumni UiTM – Anas Zahrin : Dedikasi Anas dalam industri fesyen


Mohamad Anas Zahrin Atan bersama duta produk ANAS Cosmetics semasa pelancaran produknya

SEJAK kecil minat berniaga telah berputik dalam diri Mohamad Anas Zahrin Atan, 31, dengan mula membantu bapanya menjual hasil tanaman sayuran mengelilingi kampung.

Tidak seperti kanak-kanak seusianya, usahawan yang mesra disapa Anas itu membesar dalam serba kekurangan, tambahan pula adik-beradik yang ramai menjadikan anak keenam daripada sembilan beradik itu sentiasa berusaha untuk mendapatkan apa yang diimpikan.

“Darah berniaga memang sudah diterap daripada kecil, bapa sendiri ajar supaya jangan malu untuk berniaga dan cari duit sendiri. Dulu dapat RM2, RM3 sehari pun sudah gembira tidak terkata. Jadilah, untuk buat duit belanja dan simpan sedikit.

“Namun, terdetik di hati sampai bila keluarga perlu lalui semua ini? Dari situ, saya nekad untuk ubah kehidupan keluarga dengan menimba ilmu sebanyak mungkin. Kerana bagi saya, hanya ilmu dan pengalaman mampu menjadikan seseorang itu berjaya dan dipandang mulia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jenama ANAS Cosmetics secara rasmi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Koleksi pewarna bibir di bawah jenama Anas Cosmetics

Perniagaan ANAS Cosmetics yang dimulakannya sejak 2017 telah mengeluarkan beberapa produk kosmetik termasuk gincu, pembayang mata dan maskara berasaskan warna-warna yang bersesuaian dengan wanita Asia.

Tambah lelaki dari Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor itu, menjadi anak petani bukanlah kehidupan yang mudah lebih-lebih lagi ibunya hanya seorang suri rumah yang hanya menunggu hasil titik peluh suami di kebun sayur untuk membesarkan anak-anak.

Jejaka berjaya dalam industri fesyen ini juga ternyata mempunyai kecenderungan yang mendalam terhadap bidang tersebut apabila minat itu dikembangkan daripada satu cabang ke satu cabang.

Mengimbau latar belakang pendidikannya, sebaik tamat persekolahan, Anas telah menyambung pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan dan seterusnya Ijazah Sarjana Muda Pemasaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Demi minat kepada bidang fesyen, dia kemudian mengikuti kursus pendek di London Fashion School, Britain pada 2013 selama tiga bulan dengan pembiayaan sendiri.

Sepanjang pengajian, Anas sentiasa mencari peluang untuk menambah duit poket dengan mengambil upah merakam gambar rakan-rakan dengan kadar bayaran serendah RM50 untuk satu sesi.

Fotografi

Pengalaman itu menjadi titik tolak penglibatannya dalam dunia fesyen menerusi bidang fotografi dengan pembukaan studio sendiri selepas tamat pengajian.

“Pada peringkat awal, dengan bermodalkan kamera yang dipinjam daripada rakan, saya pernah menjana pendapatan sebulan antara RM4,000 ke RM5,000,” jelasnya yang turut dikenali dengan nama timangan Annas Easkey.

Sebagai graduan perniagaan dan pemasaran, Anas melihat industri fesyen membuka peluang perniagaan yang memberangsangkan. Daripada seorang perakam fesyen dia kemudian memulakan perniagaan jenama pakaian ASHH&ANNAS sebelum meneruskan ke cabang terkini iaitu kosmetik.

Koleksi bedak ANAS Cosmetics

Anas mengeluarkan produk kosmetik jenama sendiri, ANAS Cosmetics pada Ogos 2017.

“Keunikan ANAS Cosmetics adalah harganya yang mampu milik dan kualitinya setanding produk antarabangsa.

“Saya tidak mahu bangunkan produk semberono sahaja tetapi saya akan pastikan ia sesuai dengan wanita khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah,” ujarnya.

Bermula dengan lima jenis produk kecantikan termasuk gincu, pembayang mata dan maskara, jenama ANAS Cosmetics kini mengorak langkah menerusi pengiktirafan peruncit kosmetik terkemuka dari Hong Kong, SaSa Malaysia, yang membeli produknya untuk dijual di 33 rangkaian SaSa seluruh Malaysia.

Jelas Anas lagi, pihaknya juga akan melebarkan koleksinya kepada lebih 20 jenis produk kosmetik termasuk penutup cela, pemerah pipi dan bedak asas pada April depan.

Selain SaSa, produk ANAS Cosmetics juga boleh didapati di FashionValet dengan harga sekitar RM29 hingga RM89.

Mengenai perancangan masa depan, Anas berkata, pihaknya menyasarkan ANAS Cosmetics untuk dijual di 280 outlet SaSa seluruh Asia termasuk di Taiwan dan Korea Selatan.

Dia turut merancang untuk menembusi pasaran Asia Barat serta Indonesia dalam tempoh lima tahun akan datang. Setelah berkolaborasi dengan pelakon, Rozita Che Wan untuk penghasilan span pengadun solekan, Anas merancang untuk bekerjasama dengan Ayda Jebat untuk rangkaian produk kosmetik terbaharu pada pertengahan tahun ini.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/k2/stailo/dedikasi-anas-dalam-industri-fesyen-1.853851

0
0