20 November 2024 – Jabatan Seni Reka Perindustrian telah menganjurkan program “Collaborative Teaching: Merging Form, Function and Aesthetic in Product Design” pada 20 November 2024 di Foyer, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah. Program ini dihadiri oleh Encik Tengku Mohd Firdaus, yang merupakan seorang 3D Character Modeler dari Metronomik Sdn. Bhd. dan juga alumni graduan program Seni Reka Perindustrian, sebagai penceramah jemputan.
Program ini disertai oleh barisan pensyarah yang terlibat iaitu Encik Mohd Hamidi Adha, Encik Azmir Mamat Nawi, Puan Dinah Rakhim dan Encik Mohd Rozman Nasir, bersama 49 orang pelajar Semester 1, program Diploma Teknologi Seni Reka Perindustrian.
Program ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memperkenalkan kaedah pengajaran kolaboratif yang menggabungkan pengetahuan akademik dengan pengalaman industri. Fokus utama adalah trend reka bentuk produk terkini, bagi meningkatkan kefahaman pelajar terhadap keberkesanan kolaborasi ini.
Sesi ini menonjolkan gabungan teori dan praktikal, dengan penekanan diberikan kepada elemen fungsi, bentuk, dan estetika untuk menghasilkan reka bentuk produk yang inovatif dan relevan. Pelajar turut mendapat pandangan mendalam tentang strategi reka bentuk yang berdaya saing.
Perkongsian ilmu ini berjaya memperkukuhkan hubungan antara institusi akademik dan industri, sekaligus memberi impak positif terhadap persiapan pelajar dalam menghadapi cabaran dunia reka bentuk moden. Kolaborasi seperti ini diharap menjadi agenda berterusan demi masa depan pendidikan reka bentuk.
Penulis bersama : En. Azmir Mamat Nawi, Pn. Dinah Rakhim, En. Mohd Rozman Nasir