Kolaborasi industri dengan institusi pendidikan tinggi di dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dapat membantu meningkatkan kualiti pendidikan tidak hanya dalam konteks teoretikal, tetapi juga dalam aspek praktikal.
Pada 29 Mac 2024 (Jumaat), seminar “Industrial Talk 2024” telah berlangsung dengan jayanya. Program ini telah dihadiri seramai lebih kurang 85 orang pelajar dan 4 orang pensyarah yang mengajar kod kursus EEE358/EEE368 di UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh.
Industri 4.0 (IR 4.0) adalah teknologi digital yang ditambah baik dengan teknologi rangkaian melalui capaian Internet, penggunaan data masa nyata (real-time data) dan teknologi pengkomputeran awan (cloud) yang lebih komprehensif serta boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti.
Pemahaman pelajar terhadap gelombang IR 4.0 yang melewati dunia global kini masih pada tahap sederhana, Tujuan utama seminar dalam talian ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar berkenaan dengan pilihan tajuk projek tahun akhir yang bersesuaian dengan keperluan dan kehendak di industri masa kini iaitu IR 4.0.
Tajuk seminar yang disampaikan oleh penceramah adalah: Exploring Real World Application, Challenges, and Trends in Industry. Penceramah jemputan dari Intel Corporation (M) iaitu Tecnologist Nasirah Mamat merupakan seorang pengamal industri yang memiliki pengetahuan luas, telah memberikan perkongsian ilmu dan pengalaman mengenai kerjaya beliau serta cabaran dalam menjadi seorang jurutera selama 15 tahun di industri. Beliau juga banyak mendorong pelajar untuk terus maju sehingga mencapai cita-cita untuk menjadi seorang jurutera yang berjaya.
Antara kandungan seminar yang disampaikan penceramah adalah mengenai perkembengan revolusi industri dunia dari Industri 1.0 hingga Industri 4.0, cabaran dan kepentingan IR 4.0 pada masa kini. Beliau turut mendorong pelajar untuk menggunapakai revolusi IR 4.0 ini di dalam projek akhir pelajar.
Secara keseluruhannya, program ini telah memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan dengan teknologi terkini di industri iaitu Industri 4.0. Kolaborasi antara dunia akademik dan industri ini juga turut dapat menghasilkan manfaat yang signifikan, tidak hanya bagi pelajar tetapi juga bagi pensyarah dan juga pihak industri.