Aktiviti Santai Busker Sebagai Terapi Muzik Kepada Pelajar

Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah melalui Unit Kebudayaan dan Jawatankuasa Kesenian Pelajar (JKP) telah menganjurkan 3 siri Busking Roadtour di 3 kafeteria kolej-kolej Kediaman UiTM Cawangan Sabah. Persembahan muzik di lapangan terbuka ini dimulakan semula setelah 2 tahun terhenti berikutan penangguhan kemasukan pelajar ke dalam kampus dan larangan aktiviti sosial secara bersemuka akibat pandemik Covid-19.

Busking Roadtour ini telah diadakan selama 3 minggu berturut-turut iaitu pada malam hari Rabu, bermula pada 12, 19 dan 26 Januari 2022. Ianya diadakan secara bersemuka, di ruang yang luas dan terbuka bagi memastikan pematuhan SOP sepanjang aktiviti ini diadakan. Sambutan daripada pelajar-pelajar adalah sangat mengalakkan.

Antara objektif utama aktiviti ini adalah untuk memberikan gambaran suasana kehidupan di dalam kampus (life experience in campus) kepada siswa-siswi. Ia juga merupakan nafas baharu kegiatan kesenian dikalangan pelajar yang selama ini hanya terdedah kepada sesi pembelajaran secara atas talian sejak 4 semester lepas. Selain itu, aktiviti ini juga merupakan antara usaha Bahagian Hal Ehwal Pelajar dalam membantu mengurangkan tekanan emosi dan mental para pelajar, khususnya bagi mereka yang menjalani sesi Open and Distance Learning (ODL) di kolej kediaman pada masa ini. Busking Roadtour merupakan satu bentuk terapi muzik yang boleh membantu menenangkan jiwa.

Secara tidak langsung juga, Busking Roadtour adalah salah satu strategi Unit kebudayaan dalam mencungkil bakat baharu dikalangan pelajar dan sekaligus memberi pendedahan pengurusan aktiviti kepada mereka.

Majlis penangguhan Busking Roadtour ini telah diadakan pada 26 Januari 2022 yang lalu bertempat di kafetaria Kolej Mabul. Majlis sederhana tetapi cukup bermakna ini telah disempurnakan oleh En. Muhd Zahimi B. Din Janai@Janan, Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, mewakili Timbalan Rektor BHEP UiTM Cawangan Sabah. “Ternyata pelajar UiTM Cawangan Sabah sangat berbakat dalam bermain alat muzik dan juga nyayian. Ini boleh menjadi nilai tambah untuk kebolehpasaran pelajar di kemudian hari,” katanya.