AKRI2024: Pensyarah Fakulti Pendidikan UiTM rangkul naib johan kategori Pentaksiran Alternatif

Shah Alam, 1 Oktober 2024 – Pensyarah kanan Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), telah dinobatkan sebagai naib johan Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif Tahun 2924 (AKRI2024) bagi kategori Pentaksiran Alternatif. Pasukan Fakulti Pendidikan yang terdiri daripada Puan Zuraimi Zakaria selaku ketua kumpulan dan Dr. Nor Tutiaini Ab. Wahid telah mengetengahkan kaedah pemerkasaan rekabentuk kurikulum dan pentaksiran ‘Integrated Assessment Approach in Enhancing Tertiary Learning Experience’.

Puan Zuraimi menjelaskan inovasi kaedah Integrated Assessment meningkatkan kecekapan pengajaran dan pentaksiran di peringkat pengajian tinggi melalui pengurangan beban tugasan pentaksiran para pelajar. Kaedah ini membolehkan dua atau lebih kursus untuk sesuatu program berkongsi pentaksiran yang sama, justeru pelajar menyediakan jumlah pentaksiran yang kurang daripada kebiasaan tanpa memberi kompromi kepada kualiti pembelajaran yang dipamerkan.

“Pertindihan kandungan dan pentaksiran untuk kursus-kursus di dalam sesuatu pelan pengajian adalah perkara biasa. Kaedah ini membolehkan satu pentaksiran dijajarkan kepada Course Learning Outcome (CLO) untuk beberapa kursus. Jadi pelajar hanya menghantar satu tugasan sahaja untuk beberapa kursus yang diintegrasikan.” Tambah Puan Zuraimi kaedah Integrated Assessment ini meningkatkan kualiti tugasan memandangkan proses penyediaan tugasan dibimbing oleh lebih daripada seorang pensyarah, selain memperkasakan proses pengajaran.

Majlis Penyampaian Hadiah AKRI2024 yang dilaksanakan bersempena sambutan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan telah disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM). Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Antara lain, objektif AKRI melalui kategori Pentaksiran Alternatif adalah bagi mengiktiraf inovasi dalam pentaksiran alternatif yang berjaya mentransformasikan kaedah pentaksiran sedia ada secara efektif. Selain Pentaksiran Alternatif, tiga kategori lain adalah Kurikulum Program Pengajian Inovatif, Pengajaran Transformatif, dan Pengalaman Pembelajaran Imersif melalui tiga sub-kategori: Bersemuka, Teradun dan Maya.