Akmal Hasif Ungguli Pertandingan Mencipta dan Mendeklamasikan Sajak Peringkat Kebangsaan

SHAH ALAM, 29 JUN 2024 – Tahniah diucapkan kepada Akmal Hasif Mohamad Sukri daripada Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang telah berjaya dinobatkan sebagai Johan bagi Pertandingan mencipta dan mendeklamasikan sajak bersempena Sayembara Bahasa Melayu 2024 anjuran Kelab Debat, Pidato dan Pemikiran Kritis (DEPIKIR) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Dato’ Onn Jaafar (JKM KDOJ) & Sekretariat Rukun Negara UTM.

Akmal Hasif yang mempertaruhkan karya sendiri bertajuk Samudera Keamanan berjaya mengungguli pertandingan ini dengan mengenepikan 122 peserta yang telah menghantar penyertaan secara maya menerusi platform youtube. Pertandingan peringkat kebangsaan ini telah menerima penyertaan daripada peserta dalam linkungan umur 16 ke 23 tahun dengan masing-masing dikehendaki mendeklamasikan karya peribadi.

Akmal Hasif telah berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM800 dan sijil penyertaan. Pencapaian Akmal Hasif adalah satu pencapaian yang amat  membanggakan ACIS. Semoga pencapaian ini menjadi pendokong semangat untuk pelajar siswa dan siswi ACIS lebih bersinar demi agama, bangsa dan negara.