Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) terdiri daripada 17 matlamat yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Secara ringkasnya ianya meliputi kemajuan masyarakat, perlindungan sosial, kesihatan, kemiskinan, pendidikan, peluang pekerjaan, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar. Bagi menyahut saranan Program Pembangunan Negara Bersatu untuk bidang SDG 4 : “Pendidikan Berkualiti”, Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan program berbentuk ceramah pada 7 Julai 2022 (Khamis), jam 4 sehingga 5 petang, yang bertajuk Akauntan Cemerlang Menurut Islam bertempat di Dewan Kuliah 2, UiTM Cawangan Pahang.
Tujuan ceramah ini diadakan adalah bagi menerapkan ciri-ciri serta sifat-sifat yang perlu ada pada seseorang terutamanya para pelajar untuk menjadi seorang akauntan yang berjaya pada masa hadapan bukan sahaja di dunia, tetapi pada masa yang sama menjadi insan yang berjaya di akhirat. Oleh demikian, program ini telah menjemput Dr Haji Asjad bin Mohamed, iaitu Ketua Pusat Pengajian Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Cawangan Pahang selaku penceramah bagi memberikan input yang tepat sejajar dengan tajuk program. Program ini telah disertai oleh mahasiswa Diploma Perakaunan dan pensyarah-pensyarah yang turut bertindak sebagai penasihat akademik.
Sepanjang sesi ceramah selama 1 jam ini, Dr Haji Asjad telah menerangkan ciri-ciri utama yang perlu ada pada seseorang yang ingin menjadi akauntan yang cemerlang disisi Allah iaitu, memahami konsep dan matlamat kehidupan dimana kita sebagai hambaNya wajib sentiasa taat kepada suruhanNya dan meninggalkan laranganNya. Selain itu, penceramah juga menerangkan sifat-sifat penting yang diperlukan bagi memastikan impian untuk menjadi akauntan cemerlang menurut Islam dapat direalisasikan. Terdapat dua sifat yang ditekankan, iaitu pertama, kekuatan. Sifat kekuatan ini merangkumi kekuatan dari aspek intellektual, kerohanian, emosi dan fizikal. Kedua, sifat amanah. Sifat amanah ini pula merangkumi aspek ikhlas, iman dan ihsan. Berdasarkan pelan strategik Universiti, penganjuran program sebegini dapat memberikan faedah dan kebaikan demi jangkauan dalam komuniti dan masyarakat untuk meningkatkan dan mempromosikan ilmu serta Pendidikan yang berkualiti.
Jawatankuasa Pelaksanaan program juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr Haji Asjad bin Mohamed dan para peserta atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini.