12-14 Ogos 2024 – Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub telah melaksanakan Kem Akademik dengan Sekolah Menengah Agama (SMA) al-Falah, Batu Talam, Raub. SMA al-Falah merupakan sekolah angkat bagi ACIS Kampus Raub dan ACIS Raub telah berjaya melaksanakan beberapa misi akademik untuk membantu pelajar yang tercicir serta program-program yang membangunkan tahap akademik pelajar sekolah agama tersebut. Program ini disertai seramai 62 orang pelajar iaitu 36 calon Sijil Menengah Agama (SMA) dan juga 26 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Objektif program ini dilaksanakan adalah untuk menyediakan platform kepada pelajar bagi meningkatkan minat dan kemahiran belajar melalui suasana pembelajaran yang kondusif di universiti. Hal ini boleh menarik minat untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga ke menara gading. Program ini juga cuba merealisasikan aspek pemindahan ilmu (Knowledge Transfer Program) yang mempersiapkan pelajar memiliki kemahiran semasa melalui bengkel kemahiran komputer dengan penekanan terhadap penggunaan Canva serta slot motivasi pembelajaran berkesan.
Program ini dirancang untuk memberi pendedahan dan penambahbaikan dalam proses pembelajaran selaras dengan SDG 4: Quality Education. Penganjuran program ini untuk mencapai PI075 Number of University Social Responsibility Programmes (USR). Hal ini dapat merealisasikan hasrat UiTM yang bukan sahaja memberikan pendidikan yang berkualiti kepada kelompok mahasiswa, tetapi juga kepada komuniti setempat melalui perogram yang bermanfaat.
Melalui tinjauan ringkas yang dilakukan bahawa hampir semua pelajar yang terlibat meluahkan rasa teruja dengan persekitaran kampus serta fasiliti yang ada. Dalam tempoh 3 hari 2 malam berada di kampus telah memberikan pengalaman baru kepada pelajar tersebut. Pelajar juga merasa amat gembira dan mengharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan pada waktu-waktu yang lain.
Mohd Nasir Ayub, Surita Hartini Mat Hassan, Siti Norma Aisyah Malkan@Molkan