Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Pahang Menganjurkan Program Khidmat Masyarakat “Wakaf Buku: Gift of Reading” Buat Kali Ketiga

BANDAR JENGKA, 17 OGOS 2022 – Membaca adalah satu amalan mulia dan merupakan jambatan kepada ilmu dan pengetahuan. Minat membaca harus dipupuk di kalangan generasi muda agar Matlamat Pembangunan Lestari 4 (SDG 4) yang berdasarkan kepada pendidikan berkualiti dapat direalisasikan. Bertepatan dengan idea ini, Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan satu program kemasyarakatan Gift of Reading 3.0 bersama dengan Sekolah Kebangsaan (LKTP) Jengka 21 pada 17 Ogos 2022 yang lalu. Program yang telah masuk tahun ketiga penganjurannya ini antara lain bertujuan untuk memupuk minat membaca bahan bacaan Bahasa Inggeris dan mewujudkan platform program membaca di kalangan pelajar sekolah di sekitar Jengka.

Aktiviti yang dijalankan pada program ini ialah Wakaf Buku dimana pihak APB UiTM Cawangan Pahang telah menyerahkan sejumlah 373 buah bahan bacaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu kepada pihak sekolah SK (LKTP) Jengka 21 dalam satu majlis ringkas yang dihadiri oleh pengerusi program iaitu Puan Suzaini Harmiruslin Supian, Guru Besar SK (LKTP) Jengka 21, Encik Herman bin Harun, Ketua Panitia Bahasa Inggeris SK (LKTP) Jengka 21, Puan Razita binti Abd Hamid dan beberapa orang pensyarah APB UiTM Cawangan Pahang.

Acara kemuncak program ini ialah aktiviti yang bertemakan pembacaan buku Bahasa Inggeris dimana sebuah buku yang bertajuk “What Is your Dream?” telah dipilih untuk dibaca bersama -sama dengan pelajar. Aktiviti yang diberi nama “3 Stars and a Dream” ini melibatkan 48 orang pelajar Tahun 6 dan telah dijalankan secara bersemuka di SK (LKTP) Jengka 21. Seramai 18 orang fasilitator yang terdiri daripada pensyarah Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Pahang telah membantu peserta program untuk membaca dan memahami buku tersebut. Bagi mengukuhkan lagi pemahaman para peserta, aktiviti menulis karangan pendek dan “Sing Along” telah diadakan pada akhir program.

Para peserta yang menghadiri program tersebut secara keseluruhannya berpuashati dengan aktiviti yang dijalankan dan menyatakan ianya sedikit sebanyak telah menanam minat membaca khususnya bahan bacaan Bahasa Inggeris di kalangan mereka.

Adalah diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan lagi agar ianya dapat menjadi titik tolak kepada peningkatan budaya membaca di kalangan pelajar sekolah dan seterusnya menyumbang kepada pendidikan berkualiti masyarakat setempat.