AICD 2019 serlahkan kreativiti melalui inovasi warga Pusat Asasi, UiTM

DENGKIL – Hasil pemikiran dan daya cipta yang kreatif boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk. Menyedari kepentingan ini, Jawatankuasa Pengurusan Inovasi, Pengkomersialan dan Jaringan Industri Pusat Asasi telah menganjurkan 2nd ASiD Innovation and Creativity Day 2019 (AICD 2019).

Ini merupakan salah satu inisiatif serta peluang bagi warga kampus Pusat Asasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Dengkil, untuk mempamerkan kreativiti dalam berinovasi. Penganjuran kali ini yang berlangsung pada 26 dan 27 Julai lepas, merupakan kesinambungan kepada AICD 2018 yang telah diadakan dengan jayanya.

Dengan bertemakan “Creative & Innovative Technopreneur”, ianya telah berjaya menarik seramai 39 kumpulan penyertaan yang terdiri daripada 18 kumpulan pensyarah dan 21 kumpulan pelajar. Melalui pertandingan ini juga, peserta serta pengunjung pameran dapat memanfaatkan peluang untuk bertukar pandangan serta mengembangkan idea mengenai inovasi terkini bukan sahaja dalam bidang sains teknologi tetapi juga sains sosial.

Kesemua produk hasil ciptaan para peserta ini telah dinilai dan dihakimi oleh barisan panel juri profesional dan berpengalaman daripada Research Innovation Business Unit (RIBU), Universiti Teknologi MARA, Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) dan juga pengamal industri.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjur, Dr. Siti Rudhziah binti Che Balian, tujuan utama penganjuran AICD 2019 adalah untuk menggalakkan penghasilan lebih banyak produk-produk hasil inovasi yang boleh di pertandingkan serta dikomersialkan di peringkat universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Selain itu juga, pertandingan ini dilihat mampu menjadi wadah utama kepada warga UiTM untuk terus bersaing, berkongsi input serta menjana idea dalam menghasilkan inovasi baru ke arah pemadanan perniagaan kepada masyarakat dan industri luar yang berpotensi untuk pengkomersialan.

AICD 2019 turut dimeriahkan lagi dengan aktiviti mencanting batik, iaitu kolaborasi bersama Kraftangan Negeri Selangor dan pertandingan mewarna di kalangan kanak-kanak sebagai tarikan kepada pengunjung dan warga kampus.

Dua kategori utama yang dipertandingkan ialah Best Innovator (Pensyarah) dan Best Young Innovator (Pelajar). Aplikasi Examination Invigilation System atau EIS telah dinobatkan sebagai produk inovasi terbaik bagi kategori pensyarah. Produk perisian komputer ini telah dibangunkan oleh sekumpulan pensyarah Pusat Asasi khas untuk membantu para pensyarah melihat dan memantau jadual pengawasan peperiksaan yang sebelum ini dilakukan secara manual.

Manakala bagi kategori pelajar pula, produk ‘Lets Talk’ yang memberi fokus kepada kaedah pembelajaran bahasa isyarat telah dipilih sebagai Best Young Innovator. Selain itu, sebanyak 12 produk telah berjaya merangkul pingat emas dan selebihnya berjaya meraih pingat perak dan gangsa.

Antara produk-produk lain yang turut mencuri perhatian adalah seperti Legal Roller Coaster Game, khusus untuk pelajar bidang undang-undang, Smart Traffic Light yang mengilhamkan lampu isyarat automatik bagi mengawal lalulintas serta banyak lagi.

Hadiah para pemenang telah disampaikan oleh Profesor Dr. Rugayah Hj Hashim (Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi, UiTM Cawangan Selangor) yang sekaligus merasmikan AICD 2019 tersebut. Turut hadir pada majlis perasmian dan penyampaian hadiah ialah Dr. Ikhwan Naim bin Md Nawi selaku Timbalan Pengarah Akademik, Penyelidikan dan Inovasi, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil, Encik Zaidi bin Yaacob (Timbalan Pengarah HEP) serta barisan pensyarah dan pelajar.

0
0