Agong ingatkan graduan, rakyat, jiwai prinsip Rukun Negara

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

SHAH ALAM: Graduan hari ini diingatkan menjiwai prinsip Rukun Negara selain menjadi individu yang bijaksana dan cenderung kepada kebaikan serta mempunyai nilai-nilai murni, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), bertitah negara memerlukan pelapis warisan untuk mendukung amanah dan cita-cita yang dituntut oleh Rukun Negara.

Justeru, titah Al-Sultan Abdullah, baginda ingin menyarankan agar UiTM dan institusi pengajian tinggi negara yang lain mendidik graduan dengan nilai-nilai yang dituntut oleh Rukun Negara.

Baginda bertitah, ketika negara mula-mula merdeka, wujud jurang antara kekayaan bandar dan kemiskinan desa serta jurang perbezaan kemewahan antara kaum yang lama kelamaan menjadi sukar dibendung dan akhirnya menyalakan api perbalahan, yang mendorong pemimpin negara seperti Tun Abdul Razak membentuk satu formula dinamakan Rukun Negara.

“Rukun Negara bukanlah sekadar hanya dibaca pada saban tahun kita menyambut Hari Kebangsaan Negara. Sebaliknya, semangat dan roh Rukun Negara hendaklah dijiwai dan diterapkan dalam setiap aspek kehidupan harian.

“Prinsip pertama ialah kepercayaan kepada Tuhan. Ini bermakna negara ini dan rakyatnya dibentuk atas asas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Penggubal Rukun Negara menyedari akan hakikat bahawa agama dan Tuhan adalah asas keperibadian serta identiti rakyat dan negara.

“Menerusi prinsip kedua, Raja bukanlah sekadar lambang tetapi adalah payung kedaulatan negara. Prinsip ini menuntut rakyat untuk mentaati Raja dan negara dan bukan sebaliknya menjadi hamba kepada agenda perselisihan, pertikaian mahupun permusuhan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-91 di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini, pagi ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang turut hadir, Pro-Canselor UiTM termasuk Tun Ahmadshah Abdullah; Tan Sri Dr Arshad Ayub; Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad dan Naib Canselor, Profesor Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim.

Al-Sultan Abdullah bertitah, prinsip ketiga Rukun Negara ialah Keluhuran Perlembagaan yang mengkehendaki setiap rakyat Malaysia memahami, mematuhi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Titah Baginda, prinsip keempat pula menetapkan bahawa keadilan hendaklah diasaskan atas kedaulatan undang-undang dan menghormati serta mematuhinya menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia manakala prinsip terakhir menyarankan agar hubungan antara masyarakat berbilang agama dan bangsa hendaklah disulami budaya hormat menghormati, sopan santun dan nilai-nilai murni.

Baginda bertitah masyarakat yang tidak mahu mengambil iktibar daripada sejarah akan terus hanyut melakukan kesilapan yang sama berulang kali.

Pada masa sama, titah Al-Sultan Abdullah, usaha berterusan wajar dilaksanakan di seluruh pelusuk negara ke arah memupuk kesedaran untuk menghayati dan mengamalkan Rukun Negara.

Titah Al-Sultan Abdullah, baginda yakin Malaysia akan terus aman makmur dan harmoni dengan rakyat yang bersatu padu.

Seramai 24,914 graduan akan menerima diploma dan ijazah masing-masing pada istiadat konvokesyen yang akan berlangsung di kampus induk di Shah Alam dan 12 kampus cawangan bermula hari ini hingga 7 November ini.

Oleh: Rafidah Mat Ruzki
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/614294/agong-ingatkan-graduan-rakyat-jiwai-prinsip-rukun-negara

0
0