UiTM Dengkil Anjur Program Cyber Hero Di SK Dengkil

DENGKIL, 24 Julai 2026 – Unit Sains Komputer, Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Dengkil telah berjaya menganjurkan Program Khidmat Masyarakat Cyber Hero: Bijak dan Selamat di Dunia Digital @ SK Dengkil bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil. Program berimpak tinggi ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) universiti yang dilaksanakan dengan sokongan padu pihak pengurusan Pusat Asasi UiTM Kampus Dengkil. Penganjuran ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan siber serta membentuk budaya penggunaan teknologi yang beretika, dengan penyertaan meriah daripada hampir 500 orang murid Tahun 5 dan Tahun 6 bersama 10 orang guru sekolah berkenaan.

Mengangkat tema “Bijak dan Selamat di Dunia Digital”, program selama dua jam ini dirangka khusus menerusi pendekatan pembelajaran interaktif yang merangkumi ceramah, demonstrasi, kuiz, dan cabaran berkumpulan. Pengisian program dimulakan dengan Aktiviti 1: AI atau Manusia yang mendedahkan murid kepada konsep kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), di mana mereka diajar menilai ketepatan maklumat secara kritis menerusi perbandingan kandungan teks, gambar, dan video. Seterusnya, Aktiviti 2: Kenal Pasti Deepfake memberi pendedahan menyeluruh mengenai ancaman siber terkini seperti teknologi deepfake, penipuan dalam talian (scam), serangan pancingan data (phishing), dan akaun media sosial palsu menerusi platform interaktif Mentimeter.

Program diteruskan dengan Aktiviti 3: Jaga Diri di Ruang Digital yang menekankan amalan keselamatan asas seperti pemilikan kata laluan kukuh, kawalan privasi, dan prinsip “berfikir sebelum klik”, sebelum kefahaman murid diuji menggunakan Google Forms. Kemuncak acara dimeriahkan menerusi Aktiviti 4: Cabaran Cyber Hero yang menyaksikan persaingan sengit dan menyeronokkan dalam bentuk kuiz berkumpulan, di mana 10 hadiah telah disampaikan kepada peserta berprestasi cemerlang. Majlis diakhiri dengan bacaan Ikrar Cyber Hero secara beramai-ramai sebagai simbolik komitmen murid untuk sentiasa menjadi pengguna alam siber yang bijak, beretika, dan bertanggungjawab.

Secara keseluruhannya, inisiatif Cyber Hero ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan literasi digital serta menyemai minat murid terhadap bidang Sains Komputer dan STEM sejak peringkat sekolah rendah. Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja melahirkan generasi muda yang prihatin terhadap amalan keselamatan digital, malah terus memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil dan komuniti pendidikan di daerah Sepang demi mewujudkan persekitaran siber yang selamat.