
Kuala Pilah, 20 Jun 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah terus komited menerajui agenda kelestarian menerusi penganjuran BioWave: EcoStride. Inisiatif berskala besar ini berlangsung dengan jayanya sepanjang Jun bersempena dengan sambutan Bulan Alam Sekitar Sedunia.
Kemuncak aktiviti telah diadakan pada hari sabtu bertempat di Padang Ragbi UiTM Kuala Pilah, membabitkan penglibatan aktif seramai 242 orang peserta daripada kalangan mahasiswa, staf UiTM, serta komuniti setempat.
Aktiviti berimpak tinggi ini digerakkan oleh Persatuan Ijazah Sarjana Muda Biologi (BIOSMARTEAM) melalui jaringan kerjasama strategik bersama pelbagai agensi korporat dan kerajaan. Antara rakan kolaborasi yang terlibat termasuklah SWCorp Negeri Sembilan, Yakult Malaysia Sdn. Bhd., Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Persatuan Belia Dinamik Barat, serta AADK Daerah Kuala Pilah.


Langkah ini bertujuan meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kelestarian, khususnya dalam mendepani cabaran perubahan iklim, pengurusan sisa, dan pemeliharaan biodiversiti. Bagi mencapai objektif tersebut, BioWave: The Sustainability Movement menyepadukan elemen pendidikan, kempen kesedaran, dan larian amal Eco Run menerusi empat sub-aktiviti utama iaitu :-
Green-It On: Kempen penyatuan solidariti hijau yang menyaksikan seluruh warga kampus, mengenakan busana atau pakaian bertemakan warna hijau sebagai simbolik sokongan padu terhadap pemeliharaan ekosistem. Plastic No Way: Inisiatif pengurangan penggunaan plastik sekali guna. Eco-Collect: Pengumpulan barangan kitar semula dengan kerjasama khusus pihak SWCorp Negeri Sembilan bertempat di Dataran Ilmu. Eco-Market: Platform pasaran lestari yang memberi peluang kepada para pelajar menjual barangan preloved (terpakai) milik mereka, sekali gus menyokong konsep guna semula (re-use) dan kitaran ekonomi dalam kalangan warga kampus.
Acara kemuncak ini dimeriahkan dengan senamrobik, pelepasan peserta Eco Run, pengedaran sampel Yakult, serta pameran edukatif daripada agensi terlibat. Majlis Penutup pula telah disempurnakan oleh YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Noorlis Ahmad, Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, bersama Puan Areda binti Sidik, Penolong Pengarah Kanan SWCorp Negeri Sembilan.
Selain memberi impak positif kepada ekosistem, pengisian ini menjadi platform memperkukuh kemahiran insaniah (soft skills) mahasiswa, selaras dengan aspirasi Dasar Belia Malaysia serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 3, 4, dan 17). Secara keseluruhannya, kejayaan inisiatif ini berjaya memperkukuh imej UiTM Cawangan Negeri Sembilan dalam menerajui agenda kelestarian negara.
