UiTM Perlis Naib Juara Program Ejen Pemasaran Digital FAMA

NIBONG TEBAL, 15 Julai 2026 – UiTM Cawangan Perlis terus mengukir kecemerlangan di peringkat kebangsaan apabila berjaya meraih pelbagai pengiktirafan pada Grand Finale Program Pembangunan Ejen Pemasar Digital – New Breed Marketing Entrepreneurship (NBME) 2026 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Majlis berprestij yang berlangsung di Auditorium Universiti Sains Malaysia, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin ini menyaksikan UiTM Cawangan Perlis dinobatkan sebagai naib juara keseluruhan daripada 15 institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS) bertanding, selepas mencatatkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM110,304.00.

Kejayaan manis tersebut diterajui oleh Siti Nur Maisarah binti Mohd Hafiz dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) yang dinobatkan sebagai Naib Juara Ejen Pemasaran Digital dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM3,000.00. Kecemerlangan FSKM diteruskan menerusi Aien Farha Hilmiena binti Ahmad Nazri di tempat ketiga dan Ummi Sufiah binti Mohd Hishamuddin di tempat keempat, yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000.00 dan RM1,000.00 berserta trofi. Tempat kelima pula dimenangi oleh pelajar Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Iman Nafiz bin Khairodzze dengan hadiah RM1,000.00. Lebih membanggakan, inkubator keusahawanan Ar-Rehlah milik syarikat pemula UiTM Cawangan Perlis, Athanliz Innovations Sdn. Bhd. (AISB), telah dinobatkan sebagai Usahawan Terbaik NBME 2026 selepas merekodkan jualan sebanyak RM110,280.00.

Program NBME 2026 yang berlangsung dari 1 Januari hingga 30 Jun 2026 bertujuan memperkasa mahasiswa menerusi pendedahan kepada pemasaran digital dan pengurusan jualan dalam talian menggunakan platform Agrobazar Online. Penglibatan UiTM Cawangan Perlis merangkumi pelajar kursus ENT300 (Fundamentals of Entrepreneurship) semester 20262 yang diselaraskan oleh lima pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan iaitu Dr. Athifah Najwani Shahidan, Dr. Hairulniza Abdul Rahman, Dr. Noraini Nasirun, Dr. Mutiiah Mohamad, dan Dr. Wan ‘Aliaa Wan Anis. Menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning), para pelajar berpeluang mengaplikasikan teori perniagaan dalam situasi sebenar sambil mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan, serta penyelesaian masalah.

Sokongan padu turut dizahirkan menerusi kehadiran Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Encik Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh, Koordinator Prasiswazah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Dr. Norhisam Bulot, serta wakil Ar-Rehlah, Encik Mohamad Niza Md. Nor. Pencapaian ini membuktikan kemampuan pelajar UiTM Cawangan Perlis bersaing di peringkat kebangsaan, sekali gus mencerminkan keberkesanan kerjasama strategik bersama FAMA dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran ekonomi digital masa hadapan.