UiTM Cawangan Pahang Perkukuh Kesedaran Keselamatan Pekerjaan Melalui Kolaboratif Akademia–Industri

JENGKA, 5 JANUARI 2026 – Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah berjaya menganjurkan satu sesi Kolaboratif Akademia–Industri yang memfokuskan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) serta peranan agensi utama negara. Program yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Google Meet ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 70 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, pensyarah, serta pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Inisiatif ini dijayakan melalui penglibatan aktif barisan pensyarah penyelaras iaitu Prof. Madya Ir. Dr. Marzuki bin Ab. Rahman, Dr. Hamizah Mokhtar, Nur’Ain Mat Yusof dan Sr. Mohd Razmi bin Zainudin yang memastikan kelancaran serta kejayaan penganjuran program tersebut.

Sesi perkongsian ilmu ini telah disampaikan oleh Ir. Mohd Yunus bin Yusof, Ketua Seksyen Risiko Khas daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Pahang yang berkongsi pengalaman serta input praktikal berkaitan pelaksanaan akta dan penguatkuasaan undang-undang di lapangan. Antara perkara utama yang dibincangkan merangkumi aplikasi praktikal undang-undang keselamatan, pindaan perundangan semasa serta implikasinya terhadap keselamatan di tempat kerja, di samping kepentingan penyesuaian kurikulum pendidikan bagi melahirkan graduan yang kompeten. Sesi ini turut menekankan peranan, fungsi dan tanggungjawab agensi strategik seperti DOSH, NIOSH dan CIDB dalam mengawal selia serta memperkukuh aspek keselamatan di sektor pekerjaan dan pembinaan negara.

Program ini secara khususnya diharap dapat memperluas pemahaman pelajar terhadap aspek perundangan keselamatan pekerjaan. Melalui pendedahan langsung daripada pakar industri, para pelajar diharapkan dapat mengamalkan budaya keselamatan di tempat kerja dan melengkapkan diri dengan pengetahuan terkini yang relevan dengan keperluan industri. Penganjuran sesi kolaboratif seperti ini membuktikan komitmen berterusan UiTM Cawangan Pahang dalam melahirkan graduan yang berpengetahuan, beretika dan peka terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan demi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.