
JENGKA, 3 Januari 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang melalui Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi (PPPT), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Jengka, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Daerah Jerantut, telah menganjurkan Program SULAM bertemakan komuniti kesihatan “Healthventure Day” bersama warga FELDA Jengka 8. Program berlangsung di Dewan Semai Bakti, FELDA Jengka 8.
Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penjagaan kesihatan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat. Selain itu, ia menjadi platform pengukuhan hubungan antara mahasiswa UiTM dan komuniti setempat. Program ini merupakan inisiatif pelajar kelas BA2624B di bawah bimbingan Pensyarah Penasihat, Encik Muhammad Hafiz Suhaimi.
Antara pengisian utama ialah ceramah kesihatan bertajuk “Pemakanan Seimbang Asas Gaya Hidup Sihat” yang disampaikan oleh Dr. Mohd Faez bin Bachok, Pegawai Sains (Pemakanan), Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut. Seramai 40 peserta menyertai aktiviti Healthventure Day berkonsepkan explorace kesihatan yang merangkumi aktiviti Build a Balance Plate, Colour Jump, Nutrition Dice Game, The Floor Lava dan Red Light, Green Light, semuanya direka berteraskan tema kesihatan.


Program turut menyediakan pemeriksaan gigi percuma, derma darah, serta pameran kesihatan yang dibuka kepada seluruh komuniti FELDA Jengka 8.
Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Yang Berusaha Dr. Mohd Amli bin Abdullah @ Baharum, Koordinator Prasiswazah (Pengurusan Sistem Pejabat), PPPT, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Menurut beliau, program ini membuka peluang kepada pelajar untuk memahami keperluan komuniti dan menyebarkan ilmu berkaitan penjagaan kesihatan serta gaya hidup sejahtera.
Pelaksanaan Healthventure Day turut menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan Baik, SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Kerjasama untuk Mencapai Matlamat.
UiTM Cawangan Pahang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, khususnya KKM Daerah Jerantut, komuniti FELDA Jengka 8, pensyarah penasihat serta para sukarelawan. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan memberikan manfaat berterusan kepada masyarakat setempat.
