UiTM FKE Shah Alam Menyemai Minat STEM dalam Kalangan Pelajar Sekolah Melalui STEM4FUN

KLANG, 17 Disember 2025 – Pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dari kumpulan CEEE222C7A dan CEEE222T7A telah menganjurkan program khidmat komuniti bertajuk STEM4FUN di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang, Klang pada 30 Oktober 2025. Program ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan kursus Engineers in Society (EEE621) dengan kerjasama IEEE Electron Devices Society Malaysia Chapter.

Program ini diselia oleh Prof. Ir. Dr. Ahmad Sabirin bin Zoolfakar, Ir. Dr. Maizatul binti Zolkapli, dan Prof. Madya Ir. Dr. Rozina Abdul Rani, serta dibantu oleh 36 orang fasilitator. Seramai 163 pelajar Tingkatan 3 telah menyertai pelbagai aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang bersifat interaktif dan menekankan pembelajaran secara hands-on.

Sepanjang program, para peserta berpeluang meneroka dunia elektronik melalui penggunaan kit pembelajaran seperti Electronic Block, Zoombit, dan TinyBit, yang membantu mereka memahami konsep asas litar, penderia, dan kawalan sistem dengan pendekatan kreatif serta mudah difahami. Aktiviti-aktiviti ini berjaya menarik minat pelajar terhadap bidang STEM, sekali gus memupuk kreativiti, kemahiran berfikir aras tinggi, semangat kerja berpasukan dan penyelesaian masalah.

Program STEM4FUN turut menyediakan platform bermakna kepada pelajar UiTM untuk mengaplikasikan ilmu teknikal, memperkukuh kemahiran insaniah dan menyumbang kepada pembangunan generasi muda sebagai bakal inovator masa hadapan.

Dengan sokongan penuh Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Shah Alam dan IEEE Electron Devices Society, penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam melahirkan graduan yang inovatif, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran era digital serta menyokong agenda pendidikan negara ke arah pembangunan mampan.