
SHAH ALAM, 12 Disember 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Khatam Festive Apparel Sdn. Bhd. hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka dan memperkukuh platform kerjasama strategik antara akademia dan industri kreatif. Kerjasama ini merangkumi bidang reka bentuk, penyelidikan, pembangunan produk, pemindahan ilmu serta penglibatan komuniti, sejajar dengan aspirasi untuk memacu industri kreatif yang berteraskan inovasi dan kelestarian.
MoU tersebut ditandatangani oleh YBrs. Profesor Dr. Amer Shakir, Penolong Naib Canselor UiTM (Pemerkasaan Adiwangsa), dan Encik Saiful Azri Zulkifli, Pengarah Urusan merangkap Pemilik Khatam Festive Apparel Sdn. Bhd. Upacara pemeteraian ini turut disaksikan oleh YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Azhar Abd Jamil, Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), serta Puan Noor Shafina Mohd Isa, Pengarah Kreatif Khatam Festive Apparel Sdn. Bhd.

Selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pemeteraian MoU ini diyakini menjadi pemangkin kepada usaha Kerajaan dalam memperkasa industri kreatif tempatan melalui integrasi strategik antara akademia, industri dan inovasi. Pendekatan kolaboratif ini berpotensi mewujudkan ekosistem kreatif yang mampan dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.
Menurut Encik Saiful Azri Zulkifli, kerjasama ini diharapkan menjadi asas kepada hubungan jangka panjang yang kukuh, progresif dan berimpak tinggi. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UiTM atas kepercayaan dan peluang diberikan kepada pihak industri untuk terus menyumbang kepada pembangunan akademik dan komuniti. Encik Saiful, alumni UiTM Fakulti Pendidikan (TESL), mengasaskan Khatam Festive Apparel Sdn. Bhd. pada tahun 2016. Sehingga November 2025, syarikat tersebut telah berkembang kepada 13 cawangan di seluruh Malaysia, dan beliau juga telah disenaraikan sebagai Alumni Tersohor UiTM dalam Buku Wajah Alumni Citra Bitara UiTM yang dilancarkan sempena Hari Alumni UiTM pada 19 Disember 2024.
Kerjasama antara Khatam Festive Apparel Sdn. Bhd. dan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) UiTM dijangka menjadi platform utama dalam memperkukuh hubungan akademia–industri kreatif secara berstruktur dan berimpak tinggi. Melalui kepakaran FSSR dalam bidang reka bentuk, penyelidikan dan inovasi, kolaborasi ini bukan sahaja menyokong pembangunan bakat serta pemindahan ilmu, malah mampu menjadi pemangkin kepada kelestarian industri kreatif tempatan, selaras dengan aspirasi pembangunan nasional dan agenda Kerajaan MADANI.
