
SHAH ALAM, 2 Disember 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sedang meraikan Istiadat Konvokesyen ke-103 yang berlangsung dari 19 November hingga 18 Disember 2025, melibatkan 44 sidang di UiTM Shah Alam, Sabah dan Sarawak. Seramai 32,628 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian diraikan dalam majlis penuh istiadat ini.
Di sebalik kemeriahan konvokesyen, dapatan terbaharu Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menunjukkan pencapaian membanggakan. Dengan kadar maklum balas setinggi 96%, kajian ini merekodkan bahawa 14,916 graduan UiTM telah berjaya memperoleh pekerjaan, termasuk 6.4% yang memilih laluan keusahawanan, bekerja sendiri atau sebagai freelancer, selaras dengan trend ekonomi gig masa kini.

Kadar Bekerja Graduan (GE) bagi graduan konvokesyen kali ini berada pada tahap 93.8%, mengatasi sasaran nasional dan mengekalkan rekod kukuh UiTM sebagai penyumbang terbesar tenaga kerja profesional negara. Sementara itu, Kadar Kebolehpasaran Graduan (GM) direkodkan pada 94.7%, dengan hanya 5.3% graduan dilaporkan masih belum bekerja.
Analisis SKPG turut menunjukkan 660 graduan menerima gaji permulaan melebihi RM4,000, manakala 493 graduan berjaya mengembangkan kerjaya di syarikat multinasional (MNC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan di luar negara dengan gaji premium. Daripada 289 program ijazah pertama yang ditawarkan, 237 program (82%) mencapai GE melebihi 90%, membuktikan kurikulum UiTM kekal relevan dan sejajar keperluan industri.
Sebagai institusi yang melahirkan hampir 40% graduan IPTA dan 20% daripada keseluruhan graduan IPT negara, UiTM terus memainkan peranan kritikal dalam ekosistem pembangunan bakat negara. UiTM merakamkan penghargaan kepada warga universiti, rakan industri dan alumni atas sokongan berterusan melalui peluang pekerjaan dan program peningkatan kemahiran profesional.
