Program Bakti MADANI Mega UiTM 2025 @ Bukit Besi Perkukuh Keusahawanan Sosial dan Pemerkasaan Komuniti

Bukit Besi, Terengganu, 1 November 2025Program Bakti MADANI Mega UiTM 2025 @ Bukit Besi yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November 2025 di Bandar Bukit Besi, Dungun telah berjaya dilaksanakan dengan penuh berimpak. Program ini memberi tumpuan kepada khidmat komuniti dan pemerkasaan sosioekonomi penduduk setempat melalui pelbagai aktiviti berfokuskan Keusahawanan Sosial, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Antara aktiviti utama ialah Seminar Keusahawanan Sosial yang diadakan pada 31 Oktober 2025 di Padang Awam Bandar Bukit Besi. Seminar ini bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan, khususnya golongan belia, tentang konsep keusahawanan sosial sebagai solusi kepada masalah sosial dan pemangkin peningkatan taraf hidup. Program ini melibatkan 4 orang pensyarah UiTM dan 7 pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Kampus Dungun, yang membimbing peserta melalui sesi latihan menggunakan Business Model Canvas (BMC) bagi merancang dan menilai kelayakan perniagaan.

Acara turut diserikan dengan perkongsian pengalaman oleh Mohd Danial Haikal Bin Sasrol Nizam (Dany Chef Tako), Ikon Keusahawanan UiTM Kampus Dungun. Beliau berkongsi perjalanan perniagaan dan teknik membangunkan perniagaan mampan, menekankan kepentingan BMC sebagai alat strategik dalam merancang perniagaan lestari.

Program Bakti MADANI ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti setempat, tetapi juga menjadi platform pengukuhan kerjasama antara universiti, kerajaan dan masyarakat. Dengan tema “Excellence with Soul”, program ini membuktikan komitmen UiTM melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berkemahiran menyelesaikan masalah sosial dan mencipta inovasi berimpak positif.

Secara keseluruhan, Program Bakti MADANI Mega UiTM 2025 @ Bukit Besi telah mencapai objektifnya dalam memupuk keusahawanan sosial, memperkasa komuniti dan menyemai nilai Malaysia MADANI. Diharapkan inisiatif ini terus menjadi inspirasi kepada penduduk Bukit Besi dan komuniti Dungun untuk membina masa depan yang lebih inklusif dan sejahtera.