
Gopeng, Perak, 11 November 2025 – Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak melalui Program Ukur Bangunan telah menganjurkan Projek University-Social-Responsibility (USR) bertemakan “Solar @ Orang Asli 4.0” di Sekolah Kebangsaan Pos Raya, Gopeng, Perak pada 24 Oktober 2025. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi memperkenalkan teknologi tenaga hijau kepada komuniti luar bandar, khususnya masyarakat Orang Asli.
Seramai 12 orang pensyarah dan 8 orang pelajar dari Program Ukur Bangunan, UiTM Perak bersama wakil BSN telah menyertai inisiatif ini yang menekankan aspek penjimatan tenaga dan keselamatan persekitaran melalui pemasangan sistem solar. Pelaksanaan program menggunakan pendekatan Community-Based Approach yang memberi tumpuan kepada pemindahan ilmu dan teknologi kepada komuniti sasaran.


Menurut Pengarah Program, Prof. Madya Sr Dr Nur Azfahani Ahmad, inisiatif ini bukan sekadar latihan teknikal, tetapi juga platform pembangunan sahsiah dan tanggungjawab sosial pelajar. “Program ini menggalakkan pelajar UiTM menjadi ejen perubahan yang menerapkan nilai kelestarian dan kesejahteraan komuniti,” jelas beliau.
Sementara itu, wakil BSN, Encik Mohd Azri Abdul Latif, berkata penyertaan BSN dalam program ini mencerminkan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka terhadap komuniti luar bandar serta menyokong agenda pembangunan lestari negara.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk ceramah tenaga solar, aktiviti ‘Rumah Solar Saya’ untuk pelajar SK Pos Raya, serta pemasangan lampu solar sebenar di kawasan sekolah. Sistem yang dipasang dilaporkan berfungsi dengan baik pada waktu malam dan ianya dapat membantu meningkatkan keselamatan persekitaran sekolah.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi UiTM sebagai Globally Renowned University (GRU) 2025 yang berperanan aktif dalam memperkasa komuniti melalui pendidikan, teknologi dan inovasi hijau.
Penyunting: Ts. Zuraihana Ahmad Zawawi
