
BANDAR PUSAT JENGKA, 17 Oktober 2025 — Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka dengan kerjasama Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Jaya telah berjaya menganjurkan Program University Social Responsibility (USR) bertemakan “Gempur Jaya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025”. Program ini bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri dan motivasi para calon SPM dalam menghadapi peperiksaan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Program intensif selama lima hari, bermula dari 13 hingga 17 Oktober 2025, telah melibatkan penyertaan seramai 48 orang calon SPM, 20 orang pensyarah UiTM, dan 25 orang guru SMK Desa Jaya. Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk sesi motivasi, pengukuhan mata pelajaran oleh pensyarah dan guru, serta sidang pleno bersama pelajar. Pendekatan ini dirangka bagi memastikan pelajar memperoleh pengetahuan dan kemahiran menjawab pelbagai bentuk soalan dengan lebih berkesan, sekali gus membentuk pelajar yang berfikiran positif, kreatif, kritis dan proaktif.

Majlis penutup program telah dirasmikan oleh Dr. Nurul Diyana Binti Sanuddin, Koordinator Jaringan Industri, Kerajaan, Komuniti dan Alumni (ICAN), UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Turut menyampaikan ucapan penutup ialah Encik Aswadi bin Mohamed Razali, Pengetua SMK Desa Jaya, yang menzahirkan penghargaan atas komitmen tinggi pihak universiti dalam menyokong kecemerlangan akademik pelajar sekolah.
Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan UiTM dalam memperkukuh hubungan strategik bersama komuniti setempat serta memperlihatkan peranan institusi pendidikan tinggi dalam membentuk masa depan pelajar. Program ini juga menjadi bukti bahawa kolaborasi antara universiti dan sekolah mampu memberi impak besar dalam menyediakan pelajar yang bersedia secara mental dan akademik untuk menghadapi cabaran peperiksaan SPM.
