UiTM Bertam dan Hospital Sultanah Bahiyah Jayakan Program Penglibatan Sosial dan Kreatif untuk Pesakit Amputasi

ALOR SETAR,8 SEPTEMBER 2025 – Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam melalui Program Pemulihan Cara Kerja telah menjalin kolaborasi strategik bersama Unit Pemulihan Cara Kerja, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi melaksanakan Program Penglibatan Sosial dan Kreatif untuk Pesakit Amputasi Anggota Bawah pada 4 September 2025. Program ini merupakan projek rintis kepada pembangunan Modul Penglibatan Sosial dan Kreatif yang sedang dibangunkan oleh penyelidik UiTM sebagai inisiatif kumpulan sokongan pesakit di hospital awam seluruh negara.

Program ini bertujuan memberi peluang kepada pesakit amputasi untuk menyertai aktiviti sosial, memperluas jaringan sokongan, serta mempelajari kemahiran baharu dalam bidang seni kreatif. Pendekatan ini menyokong kesejahteraan mental, mengurangkan perasaan terasing, dan meningkatkan kualiti hidup peserta. Ia juga berperanan mendidik masyarakat tentang cabaran pesakit amputasi dan pentingnya sokongan komuniti.

Majlis dimulakan dengan ceramah bertajuk “Hidup Selepas Amputasi: Peluang dan Potensi” oleh Puan Nur Sakinah Baharudin, Pensyarah Program Pemulihan Cara Kerja UiTM. Sesi kedua menyaksikan aktiviti kumpulan DIY Dekorasi Pasu yang dikendalikan oleh Cik Nurul’ain Shuhaimi, dibantu oleh Cik Nurul Izzah Ab Razak dan En. Muhamad Faris Aminuddin.

Peserta diperkenalkan kepada konsep penglibatan sosial dan kemahiran kreatif menggunakan bahan kitar semula seperti botol plastik. Pendekatan ini selari dengan prinsip Sustainable Development Goals (SDG) 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik serta SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab. Modul kumpulan sokongan ini akan melalui proses kesahan dan kebolehpercayaan agar sesuai digunakan oleh golongan rentan termasuk pesakit amputasi.

Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada Encik Zaiful Zariman Bin Zainol, Ketua Bidang Fizikal dan Puan Siti Ramlah atas sokongan serta kehadiran. Para peserta menyatakan rasa teruja dan berharap agar program seumpama ini diteruskan di lebih banyak hospital pada masa akan datang.