Pelajar UiTM Jayakan Transformasi Digital Kampung Budiman Melalui Pendekatan Design Thinking

KLANG, 29 Ogos 2025 – Sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam berjaya memacu transformasi digital di Kampung Budiman dengan memperkasa laman web komuniti melalui pendekatan Design Thinking pada 30 Jun 2025.

Inisiatif di bawah program Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) ini diketuai oleh Dr. Afdallyna Fathiyah Harun dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, dengan penglibatan mahasiswa tahun akhir program Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) – CDCS230 yang bertindak sebagai fasilitator serta pereka solusi digital untuk komuniti.

Projek yang berlangsung dari Mei hingga Jun memberi tumpuan kepada penambahbaikan laman web Kampung Budiman Bizhub, menjadikannya lebih mesra pengguna, responsif dan berfungsi merentas peranti. Bengkel berfokus ini melibatkan wakil Jawatankuasa ICT serta usahawan kecil Kampung Budiman seramai empat orang. Pendekatan ini seiring aspirasi Digital Madani dan dasar pendigitalan negara. Rata-rata peserta berpuas hati dengan kaedah bengkel “Design Thinking” yang telah dijalankan di mana mahasiswa FSKM bukan sekadar mendapatkan input keperluan pengguna malah sering melakukan aktiviti maklumbalas dan penambahbaikan secara iteratif dan proaktif. Menurun En Nik Yassir, “Pendekatan pelajar yang berstruktur dan empatik telah menghasilkan solusi yang benar-benar menepati keperluan kami sebagai pengguna.”

Selain sesi rekabentuk laman web, sesi latihan amali serta ujilari turut dijalankan di Pusat Smart Desa Kampung Budiman bagi memberi peluang kepada wakil komuniti mencuba sendiri laman web dan sistem pentadbir laman web yang telah dibangunkan.

Menurut Dr. Afdallyna, impak program ini melangkaui aspek teknikal, “Melalui SULAM, pelajar bukan sahaja membina laman web – mereka membina hubungan, kefahaman dan keyakinan untuk menyumbang kepada masyarakat,” jelasnya.

UiTM melihat projek ini sebagai bukti keberkesanan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning), yang bukan sahaja meningkatkan literasi digital penduduk tetapi turut membentuk sahsiah, empati dan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa.

Transformasi digital Kampung Budiman ini menunjukkan bagaimana teknologi, pendidikan dan semangat kesukarelawanan dapat digabungkan untuk mempercepat pembangunan komuniti luar bandar ke arah kampung pintar yang berdaya saing.