Program Math On-The-Go 2025 Perkasa Penguasaan Matematik Pelajar Sekolah Menengah

BAHAU, 21 Ogos 2025 – Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahau telah berjaya menganjurkan Program Math On-The-Go 2025 bertempat di Dewan Seri Utama, SMK Bahau. Program ini melibatkan penyertaan seramai 128 pelajar Tingkatan 4 dan bertujuan untuk memupuk minat, meningkatkan keyakinan serta mengukuhkan penguasaan asas Matematik melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.

Program dimulakan dengan sesi ceramah bertajuk “Teknik Belajar Asas Matematik (Interaktif Algebra)” yang disampaikan oleh Puan Siti Zaharah Mohd Ruslan. Sesi ini memberi fokus kepada topik Algebra, Ketaksamaan Linear dan Indeks, dengan penekanan terhadap teknik penyelesaian soalan secara mudah dan strategi menjawab secara berkesan.

Sesi kedua diteruskan oleh Puan Siti Noor Dina Ahmad dengan tajuk “Teknik Belajar Matematik Menggunakan Kalkulator Interaktif Ringkas dan Automatik”. Melalui sesi ini, pelajar didedahkan kepada kaedah penggunaan kalkulator saintifik secara optimum, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka dalam menyelesaikan pengiraan kompleks dengan lebih pantas dan tepat.

Bagi mengukuhkan pemahaman dan minat pelajar, kuiz interaktif turut diadakan dalam kedua-dua sesi. Aktiviti ini bukan sahaja menguji kefahaman terhadap topik yang dibincangkan, malah berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang ceria, kompetitif dan penuh semangat. Pelajar dilihat lebih aktif, berani mencuba dan teruja menjawab soalan yang dikemukakan.

Majlis penutup telah berlangsung pada jam 1.00 petang dengan penyampaian sijil penghargaan dan saguhati kepada penceramah serta semua pihak yang terlibat. Program diakhiri dengan jamuan ringkas sebagai tanda penghargaan kepada para peserta dan tetamu.

Secara keseluruhan, Program Math On-The-Go 2025 berjaya mencapai objektifnya apabila pelajar menunjukkan peningkatan minat, motivasi dan kesediaan untuk menguasai asas Matematik dengan lebih mendalam. Penganjuran program sebegini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan memperkasakan pencapaian pelajar dalam subjek Matematik, selaras dengan aspirasi pendidikan negara.