
Segamat, 23 Ogos 2025 – Program Klinik Perubatan Islam anjuran Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor telah berjaya dilaksanakan di Balai Masjid Jannatul Firdaus, Kampung Jawa, Segamat. Program separuh hari ini merupakan hasil kolaborasi strategik bersama Contemporary Muamalat Student Association (COMSA) dan Jawatankuasa Masjid Jannatul Firdaus, dengan sokongan penuh daripada Ketua Pusat Pengajian ACIS, Dr. Nurul Badriyah binti Ali.
Program ini dilaksanakan dalam dua siri, bermula pada 14 Jun 2025 dengan ceramah bertajuk Sihir dalam Kehidupan Manusia, diikuti siri kedua bertemakan Saka dan Solusinya. Kedua-dua sesi disusuli dengan bacaan ayat-ayat penawar kepada para peserta sebagai sebahagian daripada rawatan spiritual. Klinik rawatan khas ini dikendalikan oleh Ustaz Nazrudin bin Hashim, Pensyarah Kanan ACIS dan pengamal perubatan Islam bertauliah dari Pusat Perubatan Islam Darussalam Malaysia.
Sebagai inisiatif memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti, program ini turut menerima tajaan daripada Industry, Community and Alumni Network (ICAN) UiTM Cawangan Johor melalui Dana Komuniti. Objektif utama adalah untuk memberi pencerahan tentang kaedah rawatan penyakit menurut perspektif Islam serta menyediakan perkhidmatan klinik rawatan Islam kepada masyarakat setempat.

Menariknya, program ini turut mendapat kerjasama erat daripada Pengerusi Masjid Jannatul Firdaus, Haji Mohamed Elham bin Haji Mohamed Solleh yang menyambut baik usaha murni ini. Seramai 12 peserta telah menerima rawatan khusus yang melibatkan bacaan ayat suci al-Quran dan doa-doa kesembuhan, dibantu oleh fasilitator berpengalaman termasuk Ustaz Syazali Effendi bin A Wahab, Encik Ahmad Akmal bin Idris, Ustaz Lukmanul Hakim Zaharullah dan Ustaz Amir Anuar Ab Azis.
Maklum balas daripada peserta menunjukkan rasa syukur dan terharu kerana berpeluang mendapatkan rawatan alternatif setelah pelbagai ikhtiar lain tidak membuahkan hasil. Ramai peserta turut menyatakan komitmen untuk hadir ke siri seterusnya dan mengamalkan ilmu yang diperoleh.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen UiTM dalam memperkasa peranan institusi pendidikan tinggi sebagai rakan strategik komuniti, selari dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kesejahteraan spiritual.
