
DENGKIL, 21 Ogos 2025 – Pusat Asasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Dengkil terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin ilmu kepada masyarakat melalui penganjuran Bengkel Penyusuan Susu Ibu 2025 Siri II pada 2 Ogos 2025. Bengkel ini merupakan kesinambungan daripada Siri I yang telah dianjurkan pada April 2024 dan berjaya menerima penarafan 3 bintang di peringkat UiTM, sekali gus membuktikan keberkesanan serta impak positif program kepada komuniti setempat.
Bertemakan “Ilmu Penting 1000 Hari Pertama”, bengkel kali ini memberi tumpuan kepada golongan ibu mengandung, ibu menyusukan bayi serta pasangan mereka yang menetap di sekitar Dengkil dan kawasan berdekatan dalam lingkungan 30 kilometer. Seramai 25 peserta komuniti telah menyertai bengkel ini, yang dibimbing oleh dua penceramah akademik UiTM, seorang penceramah dari Siri I, serta seorang penyelidik dalam bidang berkaitan.

Selain sesi ceramah interaktif, bengkel ini turut melibatkan 10 pensyarah dari Pusat Asasi UiTM sebagai jawatankuasa pelaksana. Para peserta didedahkan kepada dua modul utama iaitu kebaikan dan komposisi susu ibu serta praktis penyusuan berkesan. Sepanjang program, peserta turut menyertai aktiviti kuiz, sesi praktikal, dan pemantauan berterusan melalui kumpulan sokongan dalam talian bersama pakar penyusuan dan pakar pemakanan selama tiga bulan. Menariknya, sampel susu ibu turut dikumpul untuk kajian makmal, menjadikan bengkel ini sebagai jambatan antara penyelidikan akademik dan aplikasi komuniti.
Program ini menyumbang secara langsung kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamarataan, dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat. Kolaborasi antara pensyarah, penyelidik, pelajar dan komuniti setempat telah memperkukuh nilai bengkel ini sebagai inisiatif berimpak tinggi.
UiTM Kampus Dengkil berharap agar penganjuran bengkel ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penyusuan susu ibu, tetapi juga memperkukuh imej Pusat Asasi sebagai pusat ilmu yang aktif menyumbang kepada kesejahteraan komuniti. Program ini diyakini mampu memberi impak jangka panjang dalam melahirkan masyarakat yang lebih sihat, berpengetahuan, dan menyokong kelestarian pembangunan komuniti secara menyeluruh.
Penulis: Norhafizah Mohd Zazi
Penyunting: Zazaleena Zakariah
