Majlis Syarahan Profesor UiTM Dihadir Tokoh Tersohor Perancangan dan Industri

SHAH ALAM, 13 Ogos 2025 – Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menganjurkan Majlis Syarahan Profesor yang berprestij bertempat di Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam. Syarahan bertajuk “Urban Malaysia: Reflection of a Nation’s Progress” telah disampaikan oleh Profesor TPr Dr Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) UiTM, yang juga merupakan tokoh akademik dalam bidang Perancangan Bandar dan Wilayah.

Majlis yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari ini telah diserikan dengan kehadiran barisan jemputan kehormat termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohd Khamil bin Jamil; Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Ariff Farhan Doss; Profesor Emeritus Ezrin Arbi, pelopor penubuhan Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur; Pengarah Khazanah Research Institute (KRI), Dr Suraya Ismail; serta Timbalan Ketua Pengarah PLANMalaysia (Perancangan), TPr Md Nazri Abdullah.

Turut hadir ialah barisan Pengurusan Eksekutif dan Pengurusan Kanan UiTM, termasuk Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), wakil pusat akademik, dekan-dekan fakulti, serta Prof Ts Dr Hajah Emma Marinie Ahmad Zawawi selaku Dekan Fakulti Alam Bina. Majlis ini turut dihadiri oleh pensyarah, pelajar PhD di bawah seliaan Profesor TPr Dr Jamalunlaili, serta wakil industri yang berkepentingan dalam bidang perancangan bandar.

Dalam syarahannya, Profesor TPr Dr Jamalunlaili Abdullah membentangkan hasil kajian yang telah dibukukan mengenai evolusi pembangunan bandar di Malaysia, bermula dari awal abad ke-20 hingga era pasca kemerdekaan. Beliau menggariskan tiga fasa utama pembangunan bandar: Era Laissez-Faire, Era Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan Era Urban Malaysia, yang masing-masing mencerminkan pengaruh dasar kerajaan terhadap corak urbanisasi negara. Kajian tersebut turut mengenal pasti empat ciri utama urbanisasi Malaysia, termasuk hubungan erat antara pertumbuhan ekonomi dan pembangunan bandar, perubahan demografi, kesan sosial dan alam sekitar, serta pematangan dasar perbandaran.

Penganjuran syarahan ini bukan sahaja memberi penghormatan kepada sumbangan ilmiah Profesor TPr Dr Jamalunlaili Abdullah, malah menjadi platform penting untuk perkongsian ilmu antara akademia dan industri. Ia turut memperkukuh peranan UiTM sebagai institusi yang aktif dalam membentuk wacana pembangunan negara melalui penyelidikan dan kepakaran dalam bidang perancangan bandar dan wilayah.