Pelajar FBM UiTM Pahang Jayakan “Emergency Rescue Workshop” di Kem Sri Gading

Jengka, 21 Jun 2025 – Sekumpulan pelajar semester akhir Diploma Pengurusan Teknologi Pejabat dari Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (FPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka, yang menamakan diri mereka sebagai Code Red Crew, telah berjaya menganjurkan program “Emergency Rescue Workshop” sebagai sebahagian daripada keperluan kursus Organizing Events (OBM310). Program ini bukan sahaja memenuhi objektif akademik, malah memberi pendedahan penting kepada pelajar tentang pengetahuan asas pertolongan cemas dan tindak balas kecemasan.

Program telah berlangsung di Kem Sri Gading UiTM Jengka, dengan penyertaan seramai 60 orang pelajar daripada pelbagai fakulti. Majlis perasmian disempurnakan oleh Dr. Mohd Amli bin Abdullah @ Baharum, yang turut berkongsi pandangan mengenai kesiapsiagaan komuniti semasa krisis, pemikiran kritikal dan daya ketahanan diri. Kehadiran beliau telah menyuntik semangat dan motivasi kepada para peserta, menjadikan program ini satu pengalaman yang amat berharga.

Antara tarikan utama bengkel ialah simulasi praktikal pertolongan cemas yang dikendalikan oleh Encik Mohd Ridzuan bin Mohd Zukri, Penolong Pegawai Perubatan dari Unit Kesihatan UiTM Pahang, dengan bantuan lima orang Komander Badan Pertolongan Cemas. Para peserta berpeluang menyertai taklimat dan demonstrasi teknik asas seperti CPR, rawatan luka melecur, dan prosedur tindak balas kecemasan, yang disampaikan secara interaktif dan hands-on.

Program diteruskan dengan aktiviti “Rescue Run”, yang menguji ketahanan mental dan semangat berpasukan. Pelajar perlu melalui beberapa pos pemeriksaan, menyelesaikan cabaran simulasi kecemasan, serta bekerjasama dalam pasukan untuk membuat keputusan pantas dan berkesan. Fasilitator menilai kecekapan peserta dari segi masa, komunikasi dan kebolehan membuat keputusan dalam situasi tekanan.

Majlis penutup rasmi diadakan bagi menutup tirai bengkel, disusuli sesi fotografi berkumpulan dan ucapan perpisahan yang mesra. Para peserta bukan sahaja membawa pulang kemahiran praktikal dan pengetahuan baharu, tetapi juga kenangan bermakna dan semangat kekitaan yang tinggi.

Secara keseluruhan, Emergency Rescue Workshop telah berjaya mencapai objektif pendidikan, memupuk persahabatan antara pelajar pelbagai fakulti, serta memperkukuh semangat kampus yang proaktif dan berdaya tahan.