UiTM Teroka Potensi Pengacaraan dalam Kalangan Warga Kampus

Shah Alam, 16 Julai 2025 – Program Pencarian Bakat Baharu Juruacara dan Pembaca Nama Graduan 2025, anjuran Pejabat Komunikasi Strategik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), telah berlangsung dengan jayanya pada 14 hingga 16 Julai 2025 bertempat di Studio Rakaman, Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam.

Hebahan program ini telah berjaya menarik minat warga universiti untuk bersama-sama mengambil peluang keemasan dalam menyertai bidang yang diminati. Sepanjang program berlangsung, seramai 172 peserta yang terdiri daripada pelajar dan staf universiti telah mendaftarkan diri untuk menyertai sesi uji bakat ini. Menurut pihak Pengurusan Kanan Pejabat Komunikasi Strategik, program seumpama ini wajar dianjurkan dengan lebih kerap bagi membuka ruang dan peluang kepada warga UiTM untuk mengetengahkan potensi serta keunikan bakat dalam bidang pengacaraan, khususnya bagi majlis-majlis rasmi universiti.

Sepanjang sesi uji bakat, para peserta diuji dari aspek gaya penyampaian, pembacaan skrip, mutu suara dan kreativiti penyampaian dalam suasana majlis rasmi. Mereka turut diberikan pendedahan tentang teknik penggunaan vokal yang sesuai. Kesemua peserta dinilai oleh panel juri berpengalaman dalam bidang acara, protokol dan etika majlis rasmi universiti. Antara kriteria utama yang dititikberatkan ialah keupayaan mengawal intonasi suara, sebutan yang betul serta artikulasi suara yang jelas dan berkesan.

Program seumpama ini adalah merupakan inisiatif terbuka yang bertujuan untuk melahirkan pelapis juruacara berkaliber, di samping memberi ruang kepada peserta untuk membina portfolio dan menimba pengalaman berharga dalam bidang pengacaraan. Secara tidak langsung, mereka juga berpeluang untuk menyumbang khidmat bakti dalam Istiadat Konvokesyen UiTM, sebuah acara rasmi universiti yang penuh berprestij.

Usaha ini adalah selaras dengan komitmen UiTM dalam membina ekosistem bakat yang holistik, serta memperkasa kemahiran komunikasi dan keyakinan diri dalam kalangan warga kampus, ke arah pembentukan keterampilan profesional dan berdaya saing.