UiTM Sabah Jayakan Program JPK Prihatin: Misi Amal Madrasah Telibong Untuk Santuni Pelajar Mualaf dan Asnaf

Kota Kinabalu, 27 Jun 2025 — Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah terus memperkukuh tanggungjawab sosial melalui penganjuran Program Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Prihatin: Misi Amal Madrasah Telibong yang berlangsung di Pusat Pendidikan Mualaf & Tahfiz Kampung Telibong, Tamparuli, Sabah. Program ini disertai oleh 32 orang sukarelawan, yang terdiri daripada mahasiswa Kolej Kediaman Mabul, Mantanani dan Manukan, serta wakil Unit Residensi dan Hospitaliti Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Sabah, bersama 25 orang pelajar tahfiz.

Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada Program Tautan Ukhwah di Bawah Bayu, hasil kolaborasi Jawatankuasa Perwakilan Kolej Mat Kilau dari UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, UiTM Sabah dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Fokus utama program adalah untuk memupuk kesedaran terhadap pentingnya pendidikan dalam kehidupan seharian, khususnya kepada golongan mualaf dan asnaf.

Antara pengisian program ialah aktiviti 3M: Membaca, Mengira dan Menulis, yang dilaksanakan secara interaktif dan menyeronokkan untuk membina asas literasi dan numerasi para pelajar tahfiz. Aktiviti ini berperanan sebagai platform pendidikan komuniti, memperkasa pelajar dengan pendedahan tentang peluang pembelajaran dan kaedah mengatasi cabaran pendidikan.

Puan Laura Firanty Elun, Pengurus Madrasah, merakamkan penghargaan kepada para sukarelawan UiTM atas keprihatinan yang dizahirkan melalui program ini. Menurut beliau, “Aktiviti seperti ini amat diperlukan untuk membantu pelajar kekal bermotivasi dalam menuntut ilmu dan meneruskan kehidupan. Pendidikan mampu mengubah masa depan mereka ke arah kecemerlangan.”

Program ini turut mengukuhkan jalinan erat antara UiTM dan komuniti setempat serta memperlihatkan peranan institusi pendidikan tinggi dalam menyantuni pelajar yang kurang berkemampuan. Usaha ini juga membentuk pelajar UiTM yang berjiwa insani, beretika dan cakna terhadap masyarakat, selaras dengan aspirasi pembangunan holistik mahasiswa.

Penulis: Nur Alieysha Dania Abdullah

Editor:  Mohd Nurul Huda Roslan